Berita UtamaDunia

2 maut, seorang parah serangan di pusat Islam Portugal

Suspek bersenjatakan pisau dipercayai bunuh guru, rakan sekelas

LISBON, 7 Ramadan 1444H, Rabu – Seorang lelaki bersenjatakan pisau bertindak menyerang sebuah pusat Islam di Lisbon, sehingga mengorbankan dua nyawa dan seorang mangsa parah.

Serangan yang berlaku pada Selasa, menyasarkan pusat Islam ‘Ismaili’ di bandar itu.

Suspek bertindak menikam dua pekerja wanita di pusat itu, selain menyebabkan kecederaan serius ke atas seorang lelaki.

Polis dalam kenyataan memaklumkan, pegawainya tiba di lokasi kejadian kira-kira sebelum jam 11 pagi dan menemukan seorang lelaki bersenjata pisau.

“Berdepan dengan ancaman serius dan berterusan, anggota polis menggunakan senjata api, memukul dan meneutralkan penyerang,” kata kenyataan yang turut memaklumkan suspek dibawa ke hospital untuk rawatan.

Polis Portugis menuduh seorang ‘pelarian Afghanistan’ sebagai bertanggungjawab melancarkan serangan itu.

Menurut media Portugis, penyerang itu sering mengunjungi pusat berkenaan untuk mengambil makanan yang disumbangkan dan belajar bahasa Portugis.

Mangsa telah dikenal pasti sebagai guru penyerang berusia 40 tahun di pusat itu dan rakan sekelas berusia 20 tahun, kata laporan itu.

Kedua-dua mangsa adalah warga Portugis yang bekerja di pusat itu, lapor rangkaian televisyen SIC memetik kenyataan ketua komuniti Ismaili di Portugal, Nazim Ahmed.

Masyarakat Islam Ismaili, yang terkenal dengan prinsip kemanusiaan, keamanan dan bantuan bersama berkabung dan terkejut dengan peristiwa tragis ini, kata ketua masyarakat, Faizal Ali kepada wartawan dalam satu kenyataan ringkas.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri Portugal, Jose Luis Carneiro percaya ia hanyalah insiden terpencil, namun pihaknya kekal menyiasat motif serangan.- Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button