Berita Utama

PRU15 mungkin diadakan hujung tahun ini?

Muhyiddin beri bayangan pilihan raya selepas Belanjawan 2022

BANGI, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Malaysia berkemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada akhir tahun ini, iaitu selepas Belanjawan 2022 dibentangkan.

Perkara itu didedahkan Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian yang mendakwa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memberi bayangan berkenaan ketika mesyuarat parti secara maya pada 16 Jun lalu.

Memetik laporan Sinar Harian, Osman mendakwa, PRU15 dapat dilaksanakan sekiranya Belanjawan 2022 di peringkat Persekutuan dan negeri-negeri selesai dilakukan.

“Kemungkinan besar PRU15 akan diadakan pada akhir tahun ini sama ada November atau Disember.

“Lagipun tiada yang mustahil kerana ada pilihan raya umum sebelum ini dilakukan selepas belanjawan diumumkan,” katanya.

Bagaimanapun, katanya, tidak mustahil PRU15 ditunda sehingga awal tahun hadapan jika musim hujan berlaku di kebanyakan negeri terutama Pantai Timur.

Bahkan, pilihan raya itu juga akan diadakan sekiranya kes baharu COVID-19 mencatatkan penurunan sebagaimana disasarkan kerajaan, selain berjaya membentuk imuniti kelompok 60 hingga 80 peratus penduduk yang telah divaksin di negara ini, katanya.

Bekas Menteri Besar Johor itu berkata, Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) juga telah diarahkan melakukan persediaan bahan-bahan pilihan raya untuk diedarkan ke bahagian-bahagian.

“Parti sudah bersedia pada bila-bila masa hadapi PRU. Persediaan itu bermaksud kita memperkukuhkan lagi gerak kerja dan memperbaiki kelemahan.

“Persediaan daripada bilik gerakan sehingga latihan-latihan asas di mana sebahagian ketua-ketua bahagian masih baharu perlu diberikan seminar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button