Berita UtamaDunia

Turki longgar sekatan mulai Julai, kes COVID-19 turun sekitar 5,000

Operasi pengangkutan, institusi awam akan kembali ke waktu biasa

ISTANBUL, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Turki akan melonggarkan sekatan yang dikenakan bagi mengekang penularan COVID-19 mulai bulan depan, kata Presiden Recep Tayyip Erdogan selepas jumlah kes coronavirus harian di negara itu menurun kepada sekitar 5,000.

Beliau berkata, sekatan yang dikenakan pada Ahad dan perintah berkurung dari pukul 7 malam waktu tempatan pada hari bekerja akan ditarik balik mulai 1 Julai.

“Sekatan pengangkutan awam juga akan ditarik balik dan institusi awam akan kembali ke waktu bekerja biasa,” katanya selepas mesyuarat Kabinet.

Turki mula mengurangkan kekangan dalam beberapa minggu kebelakangan ini, mengehadkan sekatan hingga hari Ahad dan membuka restoran kepada jumlah pelanggan dengan bilangan terhad, setelah kes harian mula turun dari puncak di atas 60,000 pada bulan April.

Ankara berharap penurunan jangkitan seiring program vaksinasi yang mana hingga 1.5 juta suntikan sehari, akan membantu pemulihan dalam bidang pelancongan.

Kenaikan mendadak dalam tahap inokulasi juga telah meningkatkan harapan untuk prestasi ekonomi yang kukuh pada separuh kedua tahun ini, dengan JP Morgan minggu lalu menyemak semula ramalan pertumbuhan ekonominya hingga 6.8 peratus, memetik langkah vaksinasi.

Semalam, data Kementerian Kesihatan menunjukkan kes COVID-19 harian Turki adalah 5,294, sementara jumlah kematian yang dicatatkan 51 orang. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button