Dunia

UNRWA lancar rayuan kemanusiaan, pemulihan bernilai RM679 juta untuk Gaza

Dana diperlu untuk baiki tempat tinggal kecemasan, kerosakan infrastruktur

RAMALLAH, 11 Zulkaedah 1442H, Selasa – Agensi Kerja dan Bantuan Pelarian Palestin (UNRWA) melancarkan, rayuan kemanusiaan dan pemulihan awal berjumlah AS$164 juta (RM679 juta) berikutan pertempuran di Semenanjung Gaza pada Mei 2021.

Rayuan yang diperbaharui itu menggabungkan tindakan kecemasan segera yang dilaksanakan UNRWA di Gaza dan Tebing Barat antara 10 dan 31 Mei, serta keperluan pemulihan awal pelarian Palestin di dua wilayah berkenaan termasuk Baitulmaqdis Timur hingga 31 Disember 2021. 

Ia menggantikan Rayuan Kilat berjumlah AS$38 juta (RM157 juta) yang dikeluarkan pada 19 Mei 2021. 

“Kesan konflik ini terhadap pelarian Palestin – seperti tiga kali keganasan sebelumnya – sangat dahsyat.

“Trauma yang dialami oleh penduduk Gaza, termasuk sekitar 1.4 juta pelarian Palestin, akan terus dirasai untuk tempoh lama,” kata Ketua Pesuruhjaya UNRWA, Philippe Lazzarini. 

Serangan udara negara haram Israel telah menyebabkan kerosakan teruk pada infrastruktur fizikal, termasuk rumah dan rangkaian kemudahan UNRWA seperti air serta sanitasi di kem pelarian. 

Kemudahan UNRWA yang berfungsi sebagai tempat perlindungan kecemasan juga mengalami kerosakan sehingga 71,000 orang terpaksa mencari perlindungan ketika kemuncak konflik.

Sehingga 23 Mei, dianggarkan 7,500 pelarian Palestin masih kehilangan tempat tinggal, 7,150 daripadanya berlindung dengan saudara-mara atau rakan, manakala 350 lagi menumpang di dua sekolah UNRWA di Jabalia dan Kem Beach. 

Rayuan kemanusiaan itu menggariskan beberapa keperluan untuk membaiki tempat tinggal kecemasan, bantuan kemanusiaan kepada keluarga yang dipindahkan dan pembaikan semula kemudahan UNRWA. 

Selain itu, ia akan menjadi dana yang diperlukan untuk mensubsidi sementara pembayaran sewa keluarga Palestin yang hilang tempat tinggal dalam bentuk Bantuan Tunai Peralihan Tempat. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button