Berita Utama

3 anggota polis ditahan minta rasuah RM15,000

Sebagai balasan melepaskan lelaki daripada kesalahan dadah

ALOR SETAR, 12 Zulkaedah 1442H, Rabu – Tiga anggota polis termasuk seorang berpangkat inspektor ditahan bagi membantu siasatan atas dakwaan meminta rasuah berjumlah RM15,000 daripada seorang individu sebagai balasan bagi melepaskan lelaki itu daripada kesalahan pemilikan dadah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah dalam kenyataan berkata pegawai polis lelaki berusia 33 tahun itu ditahan bersama dua lagi anggota polis lelaki berpangkat lans koperal masing-masing berusia 24 dan 30 tahun di Bandar Baharu antara 12.10 tengah malam hingga 2.30 pagi tadi.

“Semua suspek meminta suapan berupa wang sebanyak RM15,000 dan telah menerima wang sebanyak RM2,000 daripada seorang lelaki awam sebagai balasan melepaskan lelaki berkenaan daripada kesalahan berkaitan dengan pemilikan dadah,” katanya.

Ketiga-tiga suspek telah dibawa ke Mahkamah Majistret Sungai Petani hari ini dan perintah reman selama lima hari bermula hari ini telah dikeluarkan ke atas mereka oleh Penolong Pendaftar Mohammad Alif Abdul Aziz.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah Datuk Shaharom Nizam Abd Manap ketika dihubungi mengesahkan mengenai penahanan tersebut dan memberitahu kes disiasat di bawah Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button