Berita Utama

Bolot vaksin: EU nafi dakwaan tak berasas Khairy Jamaluddin

Permintaan Malaysia berhubung agihan vaksin sudah diluluskan tanpa masalah

PUTRAJAYA, 12 Zulkaedah 1442H, Rabu – Kenyataan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bahawa Kesatuan Eropah (EU) membolot vaksin COVID-19, hingga menyebabkan negara lain termasuk Malaysia lambat menerima bekalan, tidak berasas sama sekali.

Duta EU ke Malaysia, Michalis Rokas berkata, sehingga semalam lebih lima juta dos disumbangkan EU kepada kerajaan Malaysia menerusi program Akses Sejagat Vaksin COVID-19 (COVAX).

“Untuk makluman anda, segala permintaan daripada kerajaan Malaysia berhubung agihan vaksin ke negara ini sudah pun diluluskan tanpa masalah oleh Sekretariat EU,” tegasnya seperti dilapor Kosmo!

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas pelancaran Program Sokongan Respons COVID-19 ASEAN-EU kelolaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), di sini.

Rokas mengatakan bahawa angka pada 15 Jun menunjukkan bahawa sejumlah 4.87 juta dos vaksin Pfizer-BioNTech dan 560,000 dos vaksin AstraZeneca telah dihantar ke Malaysia, sambil menambah bahawa ini diperoleh melalui COVAX.

“Semua eksport ini, sesuai permintaan Malaysia, dipersetujui serta-merta, iaitu dalam waktu dua hingga tiga hari dan juga diberikan pengecualian yang sewajarnya kerana wabak darurat,” katanya.

Terdahulu, Khairy yang merupakan Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mendakwa, bahawa terdapat beberapa buah negara Eropah yang memonopoli agihan sehingga mengakibatkan kadar vaksinasi di negara ini agak ketinggalan.

Negara-negara tersebut dipercayai berunding terus dengan pembekal vaksin bagi membolehkan pembelian dapat dibuat secara pukal apatah lagi kilang pembuatan berkenaan terletak di benua tersebut.

“Sebagai contoh, Hungary adalah sebahagian daripada EU dan EU berunding dengan pembekal vaksin secara pukal dengan kuasa beli mereka, selain kilang mengeluarkan vaksin juga ada di Eropah.

“Jadi, mereka membolot vaksin lebih awal lagi, sedangkan negara di Asia termasuk Jepun yang sudah maju pun sangat terkebelakang berbanding Eropah, AS, United Kingdom dan Kanada, serta negara Amerika Selatan yang menerima banyak bantuan daripada AS,” katanya pada sidang media perkembangan PICK di Putrajaya, kelmarin.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button