Berita Utama

Zahid dakwa ramai pemimpin BERSATU mahu kembali ke pangkuan UMNO

Tak boleh samakan dengan tindakan lompat parti selepas pilihan raya

BANGI, 26 Safar 1443H, Ahad – Ramai pemimpin dan ahli BERSATU menyatakan hasrat untuk kembali menyertai semula UMNO, dakwa Datuk Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO itu bagaimanapun mengakui partinya bersedia memperhalusi setiap permohonan tersebut, termasuk bekas ahli yang sebelum ini dikenakan tindakan tatatertib.

“UMNO mengalu-alukan ‘sirih pulang ke gagang’ kepada mereka yang akhirnya menyedari UMNO jua parti yang benar, tulus serta jujur dalam perjuangan untuk agama, bangsa dan negara.

“Difahamkan, ramai lagi pimpinan BERSATU merisik peluang kembali ke pangkuan UMNO. Insya-Allah kita perhalusi setiap permohonan dengan berlapang dada dan jiwa yang besar.

“Bukan saja dalam kalangan pemimpin, malah ahli biasa mana-mana parti sekali pun kerana UMNO akan menggembleng segenap kekuatan bagi berdepan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15),” katanya menerusi perkongsian di Facebook miliknya, hari ini.

Beberapa hari lalu, bekas Ketua BERSATU Putrajaya bersama lebih 120 ahli parti itu membuat keputusan untuk kembali menyertai UMNO.

“Sebelum itu ada pimpinan BERSATU sudah pun terlebih dulu meninggalkan BERSATU bagi menyertai semula parti terbesar bangsa Melayu.

“Selagi kepulangan mereka kepada UMNO dengan hati nurani yang ikhlas berserta roh dan semangat untuk perjuangan UMNO yang mulia,” katanya.

Tegas Ahmad Zahid, tindakan itu tidak boleh disamakan dengan perbuatan curang wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya.

“Kita tidak boleh samakan, itu sememangnya jelas satu penipuan besar kepada rakyat,” katanya.

Selepas PRU-14 lalu, seramai 15 Ahli Parlimen UMNO mengambil keputusan keluar parti dan menyertai BERSATU yang kini menerajui Perikatan Nasional (PN).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button