Uncategorized

PGA rampas 50 ekor kambing seludup di Tumpat

Dipercayai dibawa masuk dari Thailand sempena Hari Raya Korban

TUMPAT, 12 Zulkaedah 1442H, Rabu – Tindakan seorang lelaki yang memandu lori berisi muatan 50 ekor kambing di awal pagi membawa padah apabila ditahan sepasukan anggota Batalion Ke-7 Pasukan Gerakan Am (PGA7) yang sedang melakukan rondaan di Kampung Jubakar, di sini awal pagi ini.

Pegawai Pemerintah PGA7 Supt Azhari Nusi berkata siasatan awal yang dilakukan mendapati lelaki berusia 47 tahun itu sebenarnya sengaja memandu lori pada 2 pagi bagi mengelak terserempak dengan pihak berkuasa.

Beliau berkata ketika diperiksa pemandu lori juga gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah berkaitan haiwan ternakan yang dibawa.

“Susulan itu pemandu lori dan kesemua kambing yang dibawa telah ditahan dan dibawa ke Balai Polis Chabang Empat Tumpat untuk tujuan laporan dan siasatan mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Jelasnya kesemua 50 ekor kambing yang dirampas bernilai RM57,250 dan jumlah keseluruhan rampasan termasuk lori (RM45,000) adalah sebanyak RM102,250.

Ia dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk bekalan tempatan di sini khususnya untuk sambutan Hari Raya Korban.

Difahamkan, sebelum itu kambing dibawa masuk melalui Sungai Golok dengan diangkut menggunakan perahu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button