Berita Utama

Sokong Anwar? 25 Ahli Parlimen BN tak yakin ketelusan Zahid Hamidi

Beri mandat kepada Hishammuddin jadi jurucakap jika dipanggil Agong

BANGI, 12 Zulkaedah 1442H, Rabu – Seramai 25 daripada 41 Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) didakwa, tidak yakin dengan ketelusan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai wakil mereka untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa, hal ini kerana mereka kecewa terhadap Ahmad Zahid yang mengemukakan surat sokongan Ahli Parlimen UMNO kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu sewaktu menghadap Yang di-Pertuan Agong pada September 2020.

Mohamed Nazri berkata, tindakan Ahmad Zahid itu menimbulkan curiga selain khuatir beliau akan mengulangi perkara sama.

Justeru, katanya, mereka menandatangani surat akuan (SD) yang memberi mandat kepada seorang pemimpin UMNO lain, iaitu Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammudin Hussien untuk menjadi jurucakap sekiranya dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

“Saya boleh sahkan perkara itu kerana saya sendiri yang mengusahakannya sejak dua minggu lalu setelah kita dimaklumkan Yang di-Pertuan Agong akan memanggil ketua-ketua parti sekali lagi ke Istana Negara bermula 9 Jun lalu

“Berikutan itu kami bersetuju memberi mandat kepada Hishammuddin untuk menjadi jurucakap Ahli Parlimen BN bagi memberi penegasan sebenar bahawa kami tidak pernah dan tidak akan menyokong Anwar sebagai Perdana Menteri,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Nazri menafikan, bahawa SD terbabit bertujuan menjatuhkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin atau untuk menukar kerajaan.

Katanya, SD itu telah diserahkan kepada Hishammuddin, namun tidak pasti sama ia telah diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mohamed Nazri membuat pendedahan itu bagi mengulas kenyataan bekas Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan yang mengakui ada usaha mengumpul SD dalam kalangan Ahli Parlimen bagi mendapatkan sokongan untuk mengambil alih kerajaan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button