Berita Utama

PGA tahan 12 PATI cuba masuk ke Malaysia

Mereka terdiri 10 lelaki, 2 wanita berusia 18 hingga 48 tahun

BUKIT KAYU HITAM, 25 Zulkaedah 1441H, Jumaat – Cubaan sekumpulan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba menyusup masuk ke negara ini menerusi sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam gagal apabila mereka ditahan, hari ini.

Kesemua mereka terdiri 10 lelaki dan dua wanita berusia 18 hingga 48 tahun dikesan anggota Batalion 3, Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor, Perak yang melakukan rondaan Op Benteng COVID pada 1.15 pagi.

Komander PGA Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji berkata, kesemua warga Myanmar berkenaan ditemui ketika anggotanya melakukan rondaan bermotosikal di kawasan kebun getah berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

Menurutnya, ketika ditemui, kesemua mereka sedang bersembunyi dalam kawasan kebun getah untuk mengelak daripada dikesan.

“Bagaimanapun, mereka berjaya ditangkap dan hasil pemeriksaan mendapati kesemua warga asing terbabit tidak mempunyai sebarang dokumen atau pengenalan diri.

“Kita percaya mereka cuba memasuki negara ini secara haram, namun anggota PGA berjaya menggagalkan cubaan itu,” katanya seperti dipetik media tempatan, hari ini.
Katanya, kesemua PATI terbabit ditahan dan dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button