Berita UtamaDunia

Varian Delta punca Russia catat kes baharu 2 ganda lebih tinggi

Individu divaksin berpeluang menang kereta, flat

MOSCOW, 12 Zulkaedah 1442H, Rabu – Russia mencatatkan jumlah kematian COVID-19 tertinggi dalam tempoh satu hari sejak awal Februari, susulan peningkatan jangkitan mendadak disebabkan oleh varian Delta yang mencengkam negara itu.

546 kematian yang dicatatkan pada hari Selasa, bermaksud jumlah kematian COVID-19 rasmi Russia kini berjumlah 130,347 orang, sekali gus menandakan jumlah keenam tertinggi di dunia secara keseluruhan.

Angka itu menandakan kadar kematian tertinggi dalam tempoh 24 jam sejak 11 Februari.

Pihak berkuasa berkata, keadaan itu berlaku berikutan peningkatan dalam kes-kes varian Delta yang sangat mudah disebarkan, pertama kali dikenal pasti di India.

Sementara itu, jumlah jangkitan baharu yang dicatatkan pada hari Selasa adalah 16,715, angka dua kali ganda lebih tinggi daripada sebulan yang lalu.

Di tengah lonjakan itu, para pegawai menggesa untuk mempercepat kadar vaksinasi yang perlahan di seluruh negara.

Russia telah meluluskan empat vaksin buatan domestik, tetapi pada 2 Jun hanya 18 juta dari 144 juta penduduknya yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Pihak berkuasa kini berusaha untuk memujuk dan memaksa orang ramai untuk mendapatkan vaksin, sehingga menawarkan mereka peluang memenangi kereta dan flat baru, manakala individu yang tidak mahu divaksin diancam akan kehilangan pendapatan serta diberhentikan kerja.

Kremlin berkata, orang yang tidak divaksin atau tak mempunyai kekebalan tidak akan dapat bekerja di semua tempat kerja di Russia dan mereka akan didiskriminasi.

“Kenyataannya sedemikian rupa sehingga diskriminasi pasti berlaku. Orang tanpa vaksinasi atau kekebalan tidak akan dapat bekerja di mana-mana. Tidak mungkin. Ini akan menimbulkan ancaman bagi orang-orang di sekitar mereka,” kata jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov kepada wartawan.

Komen Peskov dibuat ketika Datuk Bandar Moscow mengumumkan sekatan pandemik baharu, mengatakan keadaan di ibu negara di mana varian virus Delta menyebar ‘sangat sukar’.

Jangkitan COVID-19 mula melonjak di ibu negara Russia dua minggu lalu.

“Keputusan yang kami buat sukar, tidak popular, tetapi perlu untuk menyelamatkan nyawa orang,” kata Datuk Bandar Sergei Sobyanin dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa lebih daripada 14,000 pesakit COVID-19 yang kritikal masih berada di hospital-hospital di bandar ini.

Sobyanin turut melarang semua acara hiburan dan sukan di mana lebih dari 500 orang hadir mulai semalam.

Mulai hari Isnin, semua restoran, kafe dan bar di Moscow hanya akan membenarkan pelanggan yang diberi vaksin terhadap COVID-19, pulih dari virus tersebut dalam tempoh enam bulan terakhir atau dapat memberikan ujian COVID-19 negatif yang dilakukan dalam 72 jam sebelumnya. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button