Berita Utama

40 negara desak China beri akses ke Xinjiang

Siasat dakwaan lebih sejuta Uyghur ditahan secara haram

OTTAWA, 13 Zulkaedah 1442H, Khamis – Lebih 40 negara mendesak China memberikan akses segera kepada ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Xinjiang.

Akses itu bertujuan menyiasat laporan bahawa lebih sejuta orang telah ditahan secara haram di wilayah itu termasuk diseksa dan menjadi buruh paksa.

Perkara itu dibacakan dalam satu kenyataan oleh Duta Besar Kanada Leslie Norton mewakili negara-negara termasuk Australia, Britain, Perancis, Jerman, Jepun dan Amerika Syarikat (AS) kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB, semalam.

“Terdapat laporan menunjukkan bahawa lebih sejuta orang telah ditahan secara sewenang-wenangnya di Xinjiang.

“Bahkan terdapat pengawasan meluas secara tidak profesional yang menyasarkan etnik Uyghur dan minoriti lain. Malah, kebebasan hak asasi dan budaya Uyghur turut disekat.

“Kami mendesak China untuk mengizinkan akses ke Xinjiang dengan segera dan ia bermakna tidak terikat dengan pemerhati bebas termasuk Pesuruhjaya Tinggi,” katanya.

Kenyataan dipimpin Kanada itu juga bagi mengulas mengenai laporan penyeksaan, pemandulan secara paksa, kekerasan seksual serta pemisahan kanak-kanak dari ibu bapa.

Sebelum ini, rundingan itu telah diadakan sejak September 2018.

Sementara itu, diplomat kanan misi China ke PBB di Geneva, Jiang Yingfeng menolak kenyataan itu serta menyifatkannya sebagai campur tangan yang didorong oleh motif politik.

“Kami mengalu-alukan kunjungan Pesuruhjaya Tinggi ke Xinjiang, China.

“Namun, kunjungan ini adalah untuk mempromosikan pertukaran dan kerjasama dan bukannya penyelidikan berdasarkan anggapan salah, “ dakwanya. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button