Berita Utama

Tiada sijil kesihatan sah, 2 tan keju dari New Zealand dirampas

Kes disiasat kerana tak patuhi syarat import seperti dalam permit

BANGI, 17 Jamadilakhir 1442H, Sabtu – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Johor merampas lebih dua tan keju dari New Zealand yang tidak mempunyai sijil kesihatan sah di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), semalam.

Pengarahnya, Nur Afifah A Rahman berkata, pihaknya menahan sebuah lori membawa keju itu dalam pemeriksaan rutin dijalankan penolong penguatkuasa jabatan berkenaan, pada jam 7 malam.

“Keju yang dirampas dianggarkan bernilai RM39,712 ketika pegawai MAQIS menjalankan pemeriksaan di laluan lori BSI.

“Mereka mendapati keju seberat 2,080 kg itu tidak mempunyai sijil kesihatan sah yang diperlukan MAQIS.

“Sehubungan itu barangan dagangan berkenaan dirampas manakala pemandu yang berusia 39 tahun dilepaskan selepas keterangannya diambil,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Nur Afifah berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) kerana tidak mematuhi syarat import sebagaimana yang dinyatakan dalam permit, lesen atau perakuan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda maksimum RM100,000 atau dipenjara enam tahun atau kedua-duanya dan bagi kesalahan kedua atau yang berikutnya didenda maksimum RM150,000 atau dipenjara maksimum melebihi tujuh tahun atau kedua-duanya.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited melakukan pemeriksaan dan akan terus memantau semua pintu masuk negara bagi memastikan kawalan penyakit ikan, haiwan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button