Berita Utama

Pengurus syarikat direman disyaki terlibat rasuah dapatkan kotrak RM60 juta

Dipercayai bolot kira-kira 16 projek, libatkan 11 kali pembayaran rasuah

PUTRAJAYA, 13 Zulkaedah 1442H, Khamis – Seorang pengurus syarikat direman empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes rasuah bagi mendapatkan kontrak bernilai RM60 juta di sebuah kementerian.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ini susulan penahanan seorang penolong setiausaha bahagian di sebuah kementerian semalam, yang dipercayai menerima rasuah lebih RM1 juta sejak 2016, sebagai balasan membantu syarikat mendapatkan projek-projek di kementerian terbabit.

Sumber itu menyatakan, pengurus syarikat berkenaan dipercayai telah bersekongkol dengan penolong setiausaha bahagian tersebut, bagi memonopoli projek-projek bernilai RM60 juta di kementerian terbabit sejak 2018.

“Sindiket tersebut dipercayai telah membolot kira-kira 16 projek, yang melibatkan 11 kali pembayaran rasuah,” kata sumber berkenaan.

Pengurus syarikat berusia 43 tahun itu ditahan pada kira-kira 12 tengah malam di Ibu Pejabat SPRM di sini semalam, selepas hadir memberikan keterangan.

Perintah reman terhadap lelaki itu sehingga 27 Jun, dikeluarkan Penolong Pendaftar Roslizawati Mohd Zanin di Mahkamah Majistret Putrajaya, selepas SPRM membuat permohonan tersebut hari ini. Penolong setiausaha bahagian kementerian itu pula direman lima hari bermula semalam hingga 27 Jun.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button