Berita Utama

Sidang Parlimen hibrid wajar dilaksana

Perlu sehingga negara capai 60 hingga 80 peratus imuniti berkelompok

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 13 Zulkaedah 1442H, Khamis – Dalam keadaan negara dilanda pandemik COVID-19 yang belum ada tanda akan berakhir, sesi persidangan Parlimen secara hibrid wajar dilaksanakan.

Tindakan itu perlu sehinggalah suatu peringkat negara mencapai sekurang-kurangnya 60 hingga 80 peratus imuniti berkelompok.

Menyuarakan pandangan itu, penganalisis politik, Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, persidangan secara bersemuka belum wajar dilaksanakan kerana beberapa faktor antaranya kekangan ruang dalam Parlimen untuk menempatkan semua ahli termasuk pegawai kementerian.

“Selain itu, bukan semua pegawai dan kakitangan Parlimen sudah menerima vaksin COVID-19.

“Bahkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) secara ketat harus dilaksanakan dari segi keselamatan, pergerakan logistik Ahli Parlimen dan limitasi masa perbahasan harus dikawal bagi mengelakkan berlakunya jangkitan udara dalam Dewan Parlimen,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net

Bagi beliau, sekiranya kerajaan mahu mengadakan persidangan secara bersemuka, proses vaksinasi kepada pegawai dan kakitangan Parlimen perlu disegerakan.

Namun begitu, Dr Agil berkata, sidang Parlimen tidak dapat berjalan dengan segera kerana perlu menunggu pihak berkenaan mendapat dua dos vaksin.

“Selaras saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan amalan negara maju lain yang menasihatkan sekiranya sidang Parlimen mahu dilaksanakan secepat mungkin, kaedah hibrid lebih baik, dengan menetapkan kapasiti Dewan Rakyat serta Dewan Negara sekitar 50 peratus dan selebihnya secara maya.

“Selain itu, Parlimen hanya boleh kembali bersidang secara bersemuka apabila kadar kebolehjangkitan atau R-naught di bawah 0.5, serta kadar positif di bawah lima peratus bagi meminimakan risiko.

“Banyak aspek harus dipertimbangkan oleh jawatan kuasa tersebut termasuklah aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan antara perkara yang turut dibincangkan sebelum diangkat ke Jemaah Menteri untuk diluluskan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Parlimen mempunyai kelengkapan yang mencukupi untuk melaksanakan persidangan Dewan Rakyat secara hibrid pada bila-bila masa, jika diperlukan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, sehingga kini belum ada tarikh tertentu untuk Dewan Rakyat bersidang dan ia akan mengikut Peraturan Mesyuarat, yang menetapkan keperluan memberi notis 28 hari sebelum persidangan bermula.

Beliau berkata, pelaksanaan persidangan Parlimen secara hibrid adalah norma baharu dan tidak mustahil serta akan menjadi sejarah kepada Malaysia, ketika berdepan pandemik COVID-19.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button