Berita UtamaDunia

Jordan kutuk 31 projek pembinaan haram Israel di Tebing Barat

Pihak berkuasa Israel rancang paksa 1,500 keluarga Palestin roboh kediaman sendiri di Silwan

TEBING BARAT, 14 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Jordan mengutuk keputusan pentadbiran baharu negara haram Israel yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Naftali Bennett untuk meneruskan rancangan 31 projek pembinaan di beberapa penempatan haram di seluruh Tebing Barat yang diduduki.

Jurucakap Kementerian Luar Negeri dan Ekspatriat Jordan, Daifallah al-Fayez mengecam, pemberian ‘lampu hijau’ kepada projek-projek tersebut, termasuk pembangunan pusat membeli-belah di zon perindustrian Mishor Adumim penempatan Ma’ale Adumim, sebuah sekolah di penempatan Elkana, serta rumah ibadat dan seminar Yahudi di Karnei Shomron serta Kfar Adumim.

Fayez menyifatkan persetujuan itu sebagai ‘melanggar undang-undang antarabangsa dan resolusi Majlis Keselamatan.’

Sebuah badan yang berafiliasi dengan Kementerian Hal Ehwal Ketenteraan Israel meluluskan rancangan untuk 31 projek pembinaan di penempatan Tebing Barat, langkah pertama di bawah gabungan pemerintah baharu.

Diplomat Jordan menekankan, bahawa perluasan pendudukan rejim Tel Aviv di wilayah Palestin yang dijajah, bersama dengan dasar rampasan tanah dan pemindahan penduduk Palestin tempatan, adalah haram dan melemahkan usaha yang bertujuan untuk mengembalikan kedamaian dan mencapai penyelesaian yang komprehensif dan adil dalam konflik Israel-Palestin melalui jalan penyelesaian dua negara.

Pihak berkuasa Israel merancang untuk memaksa 1,500 keluarga Palestin untuk merobohkan kediaman mereka sendiri di kawasan Silwan di Baitulmaqdis Timur.

Lebih daripada 600,000 penduduk Israel tinggal di lebih dari 230 penempatan haram yang dibina sejak penjajahan 1967 di wilayah Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis. 

Semua penempatan Israel tidak sah berdasarkan undang-undang antarabangsa kerana ia dibina di atas tanah yang didiami rakyat Palestin. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button