Berita Utama

Nilai semula risiko kes COVID-19 ikut negeri, daerah

Mengapa laksana juga PKP di Perlis, walhal kes tertinggi di Selangor?

KUBANG PASU, 14 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Kerajaan digesa menilai semula risiko penularan COVID-19 mengikut negeri dan daerah, bukannya ‘pukul sama rata’ di seluruh Malaysia.

Memberi contoh Perlis, Yang Dipertua Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Kubang Pasu, Dr Hisham Sharif hairan apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di negeri itu yang terlalu sedikit kes jangkitan.

Walhal, katanya antara kes COVID-19 tertinggi di negara ini adalah di Selangor.

“Dan kenapa mesti satu Kedah perlu dikurung sedangkan kes tinggi hanya di Kuala Muda?

“Kita perlu jawapan, dalam isu ini berapa nilai RT (kadar kebolehjangkitan) yang ‘ acceptable’ (boleh diterima) sebelum boleh tukar status PKP?,” soalnya.

Pada masa sama, beliau menyarankan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membuka sektor ekonomi bagi kategori perniagaan kecil dan sederhana (PKS) secara berperingkat dengan kawalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Kedai buku dan alat tulis, kedai pokok bunga, kedai baiki telefon, kedai baju, kedai komputer dan kedai sukan, biasanya tidak ramai orang menderu masuk, dan boleh kawal jumlah pelanggan pada satu- satu masa.

“Kalau kilang-kilang dan pasar raya boleh dibenarkan beroperasi, kedai-kedai kecil ini juga patut juga dibenarkan,” katanya.

Meskipun kes harian COVID-19 di negara menunjukkan turun dan naik dan masih mencecah empat angka, namun Selangor ketika ini adalah penyumbang tertinggi dengan lebih 1,000 kes setiap hari berbanding negeri-negeri lain.

Bermula 6 Jun lalu, kerajaan mengambil keputusan melaksanakan PKP 3.0 apabila kes keseluruhan COVID-19 mencapai 4,000 kes sehari.

Fasa 1 pada 28 Jun ini dijangka tamat hanya sekiranya memenuhi syarat.

Sebelum ini, Majlis Keselamatan Negara telah memutuskan, purata kes COVID-19 di Malaysia perlu berada di bawah 4,000 kes sehari selama tujuh hari berturut-turut bagi membolehkan negara beralih ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button