Berita Utama

Sektor pengangkutan terima vaksin COVID-19 mulai hari ini

MOT lancar program vaksinasi babit sektor maritim, udara dan darat

BANGI, 14 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Lebih 51,500 kakitangan barisan hadapan sektor pengangkutan membabitkan pelaut, petugas pelabuhan, lapangan terbang, pengangkutan darat serta rel akan menerima vaksin COVID-19.

Ini selepas Kementerian Pengangkutan (MOT) mendapat kelulusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) pada 21 Jun untuk melaksanakan Program Pemberian Vaksin bagi Sektor Pengangkutan meliputi tiga sektor perkhidmatan iaitu maritim, udara dan darat.

Program itu adalah kolaborasi antara MOT dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, syarikat-syarikat pengangkutan yang terlibat dengan program ini akan menanggung secara bersama kos penyediaan Pusat Pemberian Vaksin (PPV), manakala bekalan diberikan secara percuma oleh kerajaan.

“Dalam hubungan ini, program pertama pemberian vaksin sektor pengangkutan bermula dengan program vaksinasi melalui PPV swasta sektor maritim yang dikendalikan oleh Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) pada 25 Jun 2021 di Dewan Kelab Sukan Lembaga Pelabuhan Klang (LPK), Pelabuhan Klang, Selangor.

“Program ini akan melibatkan 10,000 pelaut dan petugas pelabuhan dan kapasiti pengendalian PPV ini adalah 1,000 orang sehari,” katanya.

Ka Siong berkata, LPK juga bertindak sebagai penyelia bagi petugas pelabuhan manakala Kumpulan Wang Pusat Perdagangan Laut (KWPPL) melalui Jabatan Laut Malaysia (JLM) menyelia bagi laut.

“Pendekatan ini akan memanfaatkan seramai 18,596 orang atau 53 peratus penyelia dan petugas pelabuhan di wilayah tengah yang layak menerima vaksin bagi fasa pertama ini.

“Jumlah keseluruhan penyelia dan petugas pelabuhan di Malaysia adalah seramai 59,155 orang,” katanya.

Beliau berkata, kriteria kelayakan penerima ditentukan oleh KKM dan mengambil kira pelbagai faktor termasuk ibu hamil atau menyusu atau lain-lain faktor perubatan.

Katanya, program itu akan diteruskan membabitkan pula sektor pengangkutan udara yang dijadualkan bermula 5 Julai di Bangunan Terminal Utama KLIA dengan membabitkan 22,243 petugas lapangan terbang, kakitangan syarikat penerbangan dan petugas kargo.

“Bagi sektor pengangkutan darat yang melibatkan pengangkutan awam darat, beberapa PPV turut akan dibuka di beberapa lokasi di seluruh negara bagi memastikan 19,259 petugas rel dan pemandu bas dapat diberikan vaksinasi dalam masa terdekat.

“Di samping itu, MOT bersama pihak CITF menyelaraskan program vaksinasi kepada pemandu teksi/e-hailing, pemandu bas dan petugas penghantar barangan (p-hailing) seperti FoodPanda dan Grab dengan jumlah keseluruhan dianggarkan 355,064 orang di seluruh negara.

“Program ini akan dilaksanakan di bawah PPV Awam dan kerajaan akan menanggung keseluruhan kos tersebut,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button