Berita Utama

Selamatkan negara, DAP saran PH-UMNO tepi perseteruan silam

'Dulu kita jatuhkan Najib, sekarang apa salahnya sama-sama jatuhkan Muhyiddin'

BANGI, 14 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Biarpun UMNO sebelum ini berulang kali menafikan akan berlaku sebarang bentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, apakah desas-desus itu hanya polemik atau ia benar-benar wujud rancangan ke arahnya?

Ini kerana, DAP mendakwa penjajaran baharu politik antara PH dengan Ahli Parlimen parti lain, termasuk UMNO perlu wujud demi agenda lebih besar, kononnya untuk menyelamatkan negara daripada pemerintahan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pelek, Ronnie Liu mendakwa, kegagalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mentadbir menjadi faktor mengapa PH perlu bekerjasama dengan Ahli Parlimen parti lain termasuk seteru tradisinya, UMNO.

Beliau mendakwa bimbang jika PH berpegang kepada prinsip tidak mahu bekerjasama dengan sesiapa, Muhyiddin akan terus memerintah kerana tiada tekanan walaupun terbukti telah gagal.

“Kalau dibiarkan beliau terus memerintah, ia akan membawa kepada keadaan lebih teruk.

“Muhyiddin sekarang berdepan tiga krisis – pertama, kestabilan politik; kedua, wabak COVID-19 dan ketiga, ekonomi,” katanya seperti dilapor portal Free Malaysia Today (FMT).

Ronnie mendakwa, walaupun kerjasama PH-UMNO adalah bukan sesuatu yang mudah, namun jika PN dibiarkan terus memerintah keadaan akan menjadi lebih buruk berbanding zaman PH dan Barisan Nasional (BN).

Beliau mengakui, bukan semua pemimpin dan akar umbi yang boleh menerima kerjasama itu memandangkan telah wujud sejarah permusuhan politik yang begitu lama antara kedua-dua parti terbabit.

“Saya sedar ada pemimpin dan ahli dalam PH tidak senang dengan kerjasama dengan  UMNO kerana bimbang UMNO tidak boleh dipercayai, ada rekod rasuah dan sebagainya.

“Tetapi di pihak UMNO juga ada pemimpin dan ahli tidak suka dengan PH, terutamanya DAP kerana anti-Melayu dan anti-Islam seperti dimomokkan sebelum ini,” dakwa Ronnie.

Demi menyelamatkan negara, Ronnie mendakwa penyokong DAP, PKR, Parti Amanah Negara (PAN) dan UMNO perlu berlapang dada dan ketepikan perasaan lampau yang melihat perseteruan silam antara PH-UMNO.

“Dulu kita pernah kerjasama dengan Dr Mahathir Mohamad dan berjaya jatuhkan Najib Razak, sekarang apa salahnya kita bersama-sama menjatuhkan kerajaan Muhyiddin sebab sudah gagal,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button