Berita Utama

UMNO tewas jika cita-cita hanya untuk diri sendiri, bukan Melayu dan Islam

Terlalu banyak pendirian hingga ahli, rakyat bingung dengan perjuangan UMNO

BANGI, 14 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Cita-cita untuk diri sendiri dan bukan bagi negara, parti, orang Melayu dan Islam merupakan masalah yang akan menewaskan UMNO jika tidak diatasi, kata Naib Presidennya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau menegaskan, para pemimpin dalam UMNO mesti mengendurkan aspirasi peribadi dan mengutamakan hanya aspirasi parti dan negara.

“Kadang-kadang terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat jadi bingung pendirian mana yang UMNO ini sebenarnya perjuangkan.

“Jika UMNO ingin berkelangsungan, maka UMNO harus teguh dengan keputusan parti dan hanya keputusan parti. Hanya institusi Presiden dan Majlis Tertinggi perlu menjadi pengemudi perjalanan UMNO,” katanya dalam tulisan di laman Facebook, hari ini.

Beliau turut meminta agar sebarang percanggahan dengan tokoh atau individu dalam parti hanya disimpan di samping memegang teguh pada disiplin parti. 

“Sama ada kita bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, itu biarlah kita simpan dalam nurani kita. Namun disiplin parti mesti kita kekalkan.

“Tanpa disiplin, parti akan jadi persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, UMNO akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan.

“Kepada semua kabilah dalam parti, kendurkanlah cita-cita kalian demi menyelamatkan UMNO. Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air,” katanya.

Pun begitu, tegasnya, ia tidak bermakna ahlinya harus memadam cita-cita untuk memimpin bangsa suatu hari nanti. 

“UMNO senantiasa bersedia menonjolkan hanya yang terbaik jika saat dan ketikanya sampai tetapi mesti dengan mengikut resmi dan tradisi UMNO.

“Semoga Allah membuka seluas-luasnya pintu persaudaraan di kalangan kita dan semoga Allah melembutkan hati sang ‘panglima’ dalam UNMO untuk bertaut kembali demi UMNO yang satu-satunya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button