Berita Utama

1,000 hilang pekerjaan jika serah LTSAAS kepada pihak swasta

Keselamatan negara turut terancam dengan kemasukan warga asing

SHAH ALAM, 15 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Seramai 1,000 pekerja bakal hilang pekerjaan sekiranya Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) diserahkan kepada pihak swasta.

Ini membabitkan semua sektor termasuk keselamatan, operator, kru penerbangan dan pembersihan, kata Yang diPertua Kesatuan Pekerja-pekerja Malaysia Airport (Kesma) Hussin Shahar.

Tambahan pula, katanya, keselamatan negara turut terancam dengan kedatangan warga asing di pintu masuk sekiranya perkara itu direalisasikan.

“Kalau diswastakan, maknanya ia akan memberi impak yang tidak baik kepada kita terutama pekerja dan rakyat kerana kira-kira 80 peratus pekerja membabitkan B40.

“Sudah pasti orang kita tidak akan diterima kerana mereka mempunyai pekerja sendiri di lapangan itu.

“Keselamatan negara terjejas jika berlaku kelonggaran kemasukan orang asing. Lapangan terbang ialah pintu masuk negara,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, Hussin berkata, pihaknya berharap supaya kerajaan dapat membuat keputusan terbaik dengan mengambil kira pekerja yang bakal terjejas di lapangan terbang terbabit, selain ia juga sebagai aset atau warisan negara.

“Kalau ikut seperti yang difahamkan, Malaysia Airports akan kerugian dalam RM11.9 bilion kerana itu ialah pelaburan yang telah kita bajetkan. Kerajaan juga akan rugi sebab apabila kita kendalikannya, cukai akan dibayar,” katanya.

Selain itu, Hussin mendakwa usaha WCT Holdings Bhd untuk mengambil alih LTSAAS masih berjalan.

Katanya, WCT telah memberi maklum balas bahawa kertas cadangan untuk memiliki LTSAAS telah diserahkan kepada kerajaan.

“Nampaknya masih lagi dalam cadangan untuk bagi ke pihak swasta. Memang ada ura-ura untuk mengambil alih atau penjualan Subang Airports kepada pihak lain.

“Walaupun kita tidak nampak secara jelas sama ada perkara ini sudah diserahkan atau belum.

“Cuma kita tahu, perkara ini masih berlaku. Ini kerana, selepas kita buat laporan, aduan kemudian pihak WCT maklum bahawa memang mereka ada berikan kertas cadangan. Jadi, baru nampak jelas di situ,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Seri Zambry Abd Kadir semalam menegaskan, kerajaan harus membatalkan sebarang hasrat untuk menswastakan dan mengeluarkan (carve-out) LTSAAS daripada rangkaian MAHB.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button