Dunia

73 anggota Demokrat desak Joe Biden ubah dasar Trump terhadap Palestin

Tuntut pendirian AS berhubung tindakan usir keluarga Palestin di Baitulmaqdis

WASHINGTON, 15 Zulkaedah 1442H, Sabtu – 73 anggota Demokrat di Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) menandatangani surat mendesak Presiden Joe Biden mengubah polisi pentadbiran terdahulu, Donald Trump terhadap Palestin, termasuk sokongan penyelesaian dua negara. 

Surat itu meminta Biden secara rasmi menarik balik rancangan bekas Presiden yang digelar sebagai ‘perjanjian abad ini’ di antara Palestin-Israel. 

Pihaknya juga mendesak Biden memenuhi komitmen pemerintahannya dengan membuka kembali konsulat AS yang terpisah di Baitulmaqdis bagi berkhidmat kepada penduduk Palestin. 

Dengan jumlah lapan tuntutan, ahli dewan itu memfokuskan kepada perubahan dasar Trump yang telah membawa Israel-Palestin lebih jauh daripada perjanjian dua negara – merujuk pergolakan baru-baru ini dicetuskan oleh percubaan rejim Zionis meluaskan penempatan di Baitulmaqdis dan serangan di Semenanjung Gaza sebagai bukti.

“Keganasan yang tercetus adalah peringatan menyakitkan bahawa konflik Israel-Palestin tidak mempunyai penyelesaian ketenteraan. 

“Ia hanya dapat diselesaikan melalui diplomasi, termasuk dua negara berunding yang menjamin hak-hak sivil dan politik, keselamatan serta nasib bangsa.

“Oleh sebab itu, kami menggesa supaya dasar pentadbiran terdahulu diubah,” kata surat itu. 

Selain itu, surat berkenaan turut menuntut Jabatan Luar Negeri dan panduan kastam AS memperjelas bahawa negara menganggap penempatan haram Israel tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa. 

Ia termasuk pendirian White House menentang tindakan mengusir keluarga Palestin dari kediaman mereka di Baitulmaqdis dan seluruh wilayah lain. –  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button