Berita Utama

‘Kerajaan patut beri bantuan, bukan galak rakyat pinjam ceti berlesen’

Tok Mat kritik tindakan KPKT benar operasi sektor Kredit Komuniti, PPW

BANGI, 15 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mengkritik langkah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menggalakkan rakyat berhutang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Menyifatkan sebagai tidak masuk akal, beliau berkata, menambah beban hutang ketika ini bukanlah penyelesaian untuk rakyat keluar daripada desakan kewangan yang menghimpit.

Sebaliknya, rakyat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh lanjutan PKP 3.0, katanya.

“Adakah ini caranya KPKT meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan. Di mana munasabahnya menggalakkan rakyat untuk berhutang?

“Inikah namanya strategi pemulihan yang bertanggungjawab? Menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi sangat tidak bermoral,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan KPKT membenarkan sektor Kredit Komuniti atau Pemberi Pinjam Wang (PPW) yang berdaftar di bawah kementerian itu untuk beoperasi berkuat kuasa serta-merta.

KK adalah sektor yang ke-13 disenaraikan sebagai perkhidmatan perlu bawah Kluster Kerajaan Tempatan dalam sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS 3.0).

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, KPKT seharusnya menggunakan ‘reserve’ Kerajaan Tempatan untuk melakukan lebih banyak intervensi kebajikan kepada rakyat.

“Banyak Kerajaan Tempatan mempunyai ‘reserve’ yang besar. Tugas kerajaan tempatan mesti mengutamakan keperluan pembayar cukainya dan bukan sekadar melakukan kerja-kerja perbandaran.

“Begitu ramai rakyat kita yang terpaksa membuat pinjaman dengan ceti-ceti berlesen demi kelangsungan hidup serta perniagaan kecil mereka yang semakin malap.

“Tugas kerajaan adalah mencari jalan keluar dari semua ini demi pemulihan semula ekonomi negara, tetapi menggalakkan rakyat berhutang dengan ceti bukan jalannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button