Berita UtamaDunia

‘Kes bunuh Nizar Banat’: Rakyat gesa ubah kerajaan Palestin

Aktivis terkemuka meninggal dunia selepas ditangkap oleh PA

HEBRON, 15 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Rakyat Palestin menggesa supaya pemerintah kerajaan negara ‘diubah’ susulan kematian aktivis terkemuka, Nizar Banat ketika berada dalam tahanan.

Dalam upacara berkabung semalam, rakyat Palestin turut mendesak Presiden Mahmoud Abbas segera meletakkan jawatan. 

Ribuan orang mengiringi keranda Nizar yang diarak melalui jalan di Tebing Barat yang diduduki sambil melaungkan “Orang ramai mahu kejatuhan rejim” dan “Tinggalkan Abbas”. 

Selain itu, terdapat antara mereka yang mengibarkan bendera Palestin serta bendera Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), yang juga pesaing utama Mahmoud Abbas di Gaza. 

Mereka juga berkumpul di Ramallah dan di luar Masjid Al-Aqsa. 

Dalam perkembangan sama, keluarga Nizar berkata, Pihak Berkuasa Palestin (PA) menyerbu rumah pada awal pagi Khamis, selain memukulnya berulang kali menggunakan batang logam sebelum beliau ditahan. 

PA berkata, pihaknya akan melakukan siasatan namun masih belum memberi sebarang komen mengenai dakwaan berkenaan. 

Sementara itu, Gabenor Hebron, Jibrin Al-Bakri berkata, Nizar meninggal dunia selepas kesihatannya merosot semasa beliau ditahan. 

Populariti Mahmoud Abbas mula merosot sejak beliau terpilih sebagai Presiden pada 2005, disebabkan rakyat Palestin menghadapi kesulitan ekonomi selain jenayah rasuah yang meluas.

Nizar, 43, adalah aktivis sosial yang membuat dakwaan bahawa PA melakukan rasuah termasuk pertukaran vaksin COVID-19 jangka pendek dengan Israel pada bulan ini serta menunda pilihan raya yang sepatutnya diadakan pada bulan lalu. 

Nizar telah mendaftar sebagai calon Ahli Parlimen dalam pilihan raya akan datang. 

Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Kesatuan Eropah meminta PA melakukan siasatan telus terhadap kematian Nizar. -Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button