Berita Utama

PKP 3.0 gagal selagi sektor kilang beroperasi

Tindakan sia-sia, strategi tersasar punca kes jangkitan masih 5,000

BANGI, 15 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Walaupun hampir empat minggu berlalu, rakyat masih tidak berpuas hati dengan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang kononnya dikuat kuasakan secara penuh sejak 1 Jun.

Rata-rata rakyat tidak menolak ‘total lockdown’, sebaliknya kecewa dengan kerajaan yang masih berlembut dengan sektor tertentu seperti kilang dan tapak pembinaan. 

Walhal, sektor berkenaan antara penyumbang peningkatan kluster dan kes setiap hari.

Pendirian ‘lemah’ kerajaan membenarkan sektor itu beroperasi ternyata menjadi faktor kegagalan PKP 3.0, sedangkan tujuan asal untuk mengurangkan peningkatan mendadak kes jangkitan harian.

Perkara itu menimbulkan tanda tanya dalam kalangan rakyat di media sosial, apabila Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih membenarkan kilang dan tapak pembinaan beroperasi berbanding perniagaan lain yang tidak mencetuskan kluster baharu.

“Pelik juga MKN, Kementerian Kesihatan dan kerajaan Selangor benar operasi kilang sedangkan banyak kluster dari kilang, berbanding masjid, kedai gunting rambut dan lain-lain,” kata Wan Lann.

“Rasa dianiaya pula. Kluster tempat kerja buat hal, rakyat disuruh duduk rumah. Kedai tak boleh buka,dengan sewa tetap kena bayar walaupun diberi diskaun 30 peratus,” tulis Saiful Bahri.

Sebahagian netizen turut mencadangkan kerajaan mengikut langkah Thailand menutup sektor tapak pembinaan selama sebulan kerana menyumbang kes terbesar COVID-19 dengan 37 kluster sejak Mei lalu.

“Sudah penat dengan strategi yang tidak mengena sasaran. Sektor penyumbang kluster dibiarkan berjalan, kalau macam ni bila kes akan berkurang, sampai bila peniaga kecil, IKS nak bertahan dengan jualan yang tak memberangsangkan,” kata Blossom Purplezz.

“Malaysia pun patut tutup kilang dan tapak pembinaan selama 30 hari, kemudian vaksinkan semua pekerja. InsyaAllah boleh turun kes COVID-19,” kata Ja’a Nordin.

“Total lockdown yang sia-sia. Konon tutup pintu depan dan belakang, tapi pintu tepi buka. Sebab itu kes selalu 5,000 ke atas,” kata Krish Krish.

Setakat semalam, 21 kluster baharu dilaporkan dengan 18 daripadanya adalah dari tempat kerja membabitkan banyak daerah di Selangor, Kuala Lumpur, Melaka, Kelantan, Kedah, Pulau Pinang, Pahang dan Sarawak.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button