Dunia

Singapura tinjau penggunaan ART bagi ujian pra-acara

Fasa tiga diteruskan hingga penularan virus dikawal dengan baik

SINGAPURA, 4 Rabiulawal 1442H, Rabu – Singapura sedang meninjau ujian COVID-19 pra-acara khusus untuk pengurusan aktiviti berskala lebih besar dan berisiko tinggi, bagi mengurangkan risiko kemunculan kes COVID-19 di acara berkenaan.

Ujian COVID-19 pra-acara merupakan salah satu langkah yang akan digunakan oleh republik itu bagi pembukaan semula dengan selamat ke arah Fasa Tiga.

“Kami sedang meninjau penggunaan ‘antigen rapid tests’ (ART) bagi ujian pra-acara, yang boleh memberikan keputusan cukup tepat, dan boleh diuruskan sejurus sebelum acara bermula,” kata pengerusi bersama pasukan petugas pelbagai kementerian berhubung COVID-19 Singapura Gan Kim Yong di sidang media maya di sini hari ini.

Gan yang juga Menteri Kesihatan Singapura berkata, ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) masih merupakan standard tinggi yang memberikan keputusan amat tepat, namun ia agak mengambil masa, yang memerlukan ujian diambil sehari atau dua hari lebih awal daripada acara.

“Beberapa acara yang akan diuji, termasuk contohnya acara berkaitan perniagaan atau majlis perkahwinan,” katanya.

Selain langkah pengurusan keselamatan dan peningkatan pelaksanaan ujian, Singapura akan terus mengukuhkan rejim pengesanan kontak, menggunakan dua agenda pengesanan kontak digital utama – SafeEntry dan TraceTogether.

“Fasa tiga akan diteruskan sehingga penularan virus itu dikawal dengan baik, bukan sahaja di Singapura, tapi juga di seluruh dunia, oleh itu ia akan menjadi pengurusan jangka panjang,” kata Gan.

Beliau berkata, keadaan COVID-19 di Singapura ketika ini boleh dikatakan terkawal.

Singapura yang dalam Fasa Kedua pembukaan semula ekonomi serta aktiviti sosialnya sejak 19 Jun sehingga kini mencatatkan 57,915 kes positif dengan 99.8 peratus pesakit telah sembuh sepenuhnya.

Sehingga kini Singapura mengklasifikasikan 1,161 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,265 sebagai kes dalam komuniti dan 54,489 melibatkan penghuni asrama. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button