Berita Utama

Dewan Rakyat kecoh isu kesilapan kiraan undi belah bahagian peringkat jawatankuasa

Ahli Parlimen pembangkang tak puas hati, mohon undian sekali lagi

KUALA LUMPUR, 15 Rabiulakhir 1442H, Selasa – Kesilapan Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya dalam pengiraan undi belah bahagian Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kewangan semalam mencetuskan pertikaian dalam kalangan Ahli Parlimen pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kesilapan itu bagaimanapun, tidak mengubah keputusan undi belah bahagian itu yang meluluskan peruntukan dalam Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kewangan di peringkat jawatankuasa.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon selepas sesi soal jawab hari ini melalui pemakluman Yang Dipertua Dewan Rakyat yang dibacakan Mohd Rashid.

Shabudin yang bertindak sebagai penghitung undi belah bahagian bagi Blok C menyatakan beliau tersilap kira dalam senarai undi untuk blok itu dengan menandakan Ahli Parlimen Padang Rengas bersetuju dalam senarai undi, sedangkan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak hadir semasa undian belanjawan Kementerian Kewangan semalam.

“Satu (undi) sahaja. Oleh itu saya meminta keputusan belah bahagian bagi Kepala B10, B11, B12, Anggaran Perbelanjaan Mengurus 2021 Kementerian Kewangan daripada 18 yang tidak hadir kepada 19 dan 107 ahli bersetuju kepada 106, manakala 95 ahli kekal tidak bersetuju,” katanya.

Beliau kemudian meminta Setiausaha Dewan supaya membetulkan bilangan undi itu dan menyatakan perubahan undi itu tidak menjejaskan keputusan undi belah bahagian bagi kementerian berkenaan.

Perkara itu menimbulkan kekecohan hampir setengah jam yang menyaksikan rata-rata Ahli Parlimen blok pembangkang bangun menyuarakan bantahan dan rasa tidak puas hati, menyebabkan ‘gangguan’ kepada sesi perbahasan peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 bagi Kementerian Luar.

Ada yang meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat membuat keputusan bagi memberi jaminan perkara itu tidak berulang dan ada yang bangun memohon undian belah bahagian dilakukan semula.

“Ini perkara yang sangat penting walaupun ia tidak mengubah keputusan semalam, tetapi bagaimana kita nak pastikan bahawa kesilapan seperti ini tidak akan berulang. Takkanlah di Dewan Rakyat tidak ada sistem semak imbang.

“Saya harap Speaker dan Timbalan Speaker akan mencari jalan agar ada sistem semak imbang supaya perkara sama tidak akan berulang,” kata Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Bebas-Muar).

Turut mempertikaikan perkara itu RSN Rayer (PH-Jelutong) yang mahu Ahli Parlimen yang membuat kesilapan dalam pengiraan undi belah bahagian itu diambil tindakan kerana menyifatkannya sebagai satu penipuan.

Hannah Yeoh (PH-Segambut) pula mencadangkan agar undian belah bahagian peringkat jawatankuasa Belanjawan 2021 bagi Kementerian Kewangan diadakan sekali lagi.

Shabudin yang bangun menjelaskan perkara itu berkata, beliau tidak berniat untuk menipu atau melanggar peraturan dewan.

“Saya tiada niat untuk tipu Dewan dan itu kalau dianggap sebagai satu kesalahan, saya dah maklumkan dengan ikhlas kepada Speaker. Saya tidak sembunyikan perkara ini, saya dah mohon maaf kepada Speaker, terpulang pada Speaker,” katanya.

Fuziah Salleh (PH-Kuantan) kemudian bangun membacakan peraturan mesyuarat 47 (1) dan 47(2) berkaitan undi belah bahagian yang menyebut bahawa penghitung undi hendaklah bertanya pada tiap-tiap ahli pihak mana yang hendak diundinya.

“Kita faham setiap penghitung mesti bertanya, penghitung tidak boleh membuat andaian. Kalau penghitung blok Padang Rengas membuat andaian, bagaimana kami boleh yakin penghitung di blok lain di pihak kerajaan tidak membuat perkara yang sama… saya mohon ruling (keputusan) yang baharu,” katanya.

Abdul Rashid kemudian meminta Ahli Parlimen yang tidak berpuas hati supaya membuat aduan dan usul secara rasmi, sebelum meneruskan persidangan dengan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button