Berita Utama

#Ibunisasi inisiatif pastikan tiada golongan tercicir lawan COVID-19

Selari dengan panduan klinikal dikeluar oleh pembekal vaksin

KUALA LUMPUR, 16 Zulkaedah 1442H, Ahad – #Ibunisasi atau vaksinasi untuk golongan wanita hamil merupakan inisiatif proaktif dan responsif kerajaan dalam memastikan tiada golongan yang tercicir dalam usaha negara melawan virus COVID-19, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata inisiatif kerajaan itu adalah selari dengan panduan klinikal yang dikeluarkan oleh pembekal vaksin tentang pemberian vaksin kepada kumpulan itu, seterusnya dikaji dan diluluskan oleh Kementerian Kesihatan.

“Setakat ini 110,000 wanita hamil telah mendaftar dengan MySejahtera di seluruh negara sejak opsyen khas ini dibuka pada 1 Jun lalu. Saya turut difahamkan bahawa janji temu vaksinasi juga cuba disesuaikan sebaik mungkin dengan tarikh bersalin,” katanya menerusi laman sosial Facebook hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid, Petaling Jaya, yang dikhususkan untuk wanita hamil.

Menurutnya hujung minggu ini sahaja lebih 6,000 wanita hamil sudah menerima vaksinasi di dua PPV sekitar Lembah Klang iaitu di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid dan Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC).

Katanya beliau bersyukur kerana ramai wanita hamil yang tampil untuk melindungi diri, dengan disokong oleh pasangan dan keluarga masing-masing untuk mendapatkan vaksin.

“Saya dapati proses pemberian vaksin bermula daripada pendaftaran sehingga selepas disuntik berjalan lancar dan rata-rata kaum ibu yang ditemui menyatakan mereka berpuas hati kerana tidak perlu menunggu terlalu lama, dewan PPV luas dan selesa,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button