Berita Utama

JAINJ sedia khidmat kaunseling pasangan alami masalah rumah tangga

Bantuan khusus mereka hilang pekerjaan sewaktu kawalan pergerakan

JOHOR BAHRU, 16 Zulkaedah 1442H, Ahad – Pasangan di Johor yang mempunyai masalah rumah tangga ketika tempoh kawalan pergerakan ketika ini diminta untuk mendapatkan bantuan kaunseling di pejabat Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) yang berdekatan.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Johor Tosrin Jarvanthi berkata pasukan kaunseling Bahagian Pembangunan Keluarga JAINJ sentiasa bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan dengan memberikan nasihat dan bimbingan kaunseling kepada pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga.

“Bagi pasangan yang hilang pendapatan pula boleh rujuk kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) daerah dan negeri untuk mendapatkan bantuan yang boleh dipertimbangkan.

“Bantuan ini khusus bagi membantu mereka yang terkesan terutama yang hilang pekerjaan sewaktu kawalan pergerakan ini. Ia juga termasuk individu lain, pesakit kronik dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas memberikan sumbangan kepada calon Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2020 Siti Asiah Shamsol Sayfol yang memperoleh pangkat Mumtaz Sofi di sini hari ini.

Tosrin berkata demikian ketika diminta mengulas sekiranya JAINJ menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada pasangan yang mempunyai masalah rumah tangga, susulan terdapat laporan ada yang tertekan selepas menghadapi pelbagai masalah termasuk kehilangan pekerjaan semenjak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

Dalam satu majlis di KLUANG pula, Tosrin berkata pihaknya akan menambah baik prosedur operasi standard (SOP) ibadah korban tahun ini termasuk membenarkan proses melapah dilaksanakan di tempat lain selain pusat penyembelihan.

Berdasarkan SOP sebelum ini, proses sembelihan dan melapah daging korban hanya dibenarkan di 26 pusat penyembelihan seluruh negeri yang telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Veterinar, dan dibungkus sebelum diagihkan.

“Bagi mereka yang ingin melaksanakan proses melapah berkenaan di tempat lain perlu mendapat kebenaran daripada pejabat kesihatan daerah terlebih dahulu, namun diingatkan masjid dan surau tidak dibenarkan sama ada untuk proses sembelihan atau proses melapah daging korban.

“Kerajaan negeri juga mengambil keputusan hanya membenarkan mereka yang pertama kali menyertai ibadah korban, selain mereka yang telah bernazar,” katanya dan menambah penambahbaikan ini hanya akan dapat dilaksanakan setelah mendapat kelulusan sebaik sahaja Mesyuarat Penuh Kerajaan Negeri, Rabu ini.

Mengenai vaksinasi pula, pihaknya telah menyenaraikan 196 nama pelajar dari Sekolah Maahad Johor Bahru yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mendapatkan vaksin COVID-19 lebih awal.

Nama-nama calon berkenaan telah dihantar ke Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri untuk tindakan yang selanjutnya, sebelum peperiksaan dijalankan, dengan pihaknya akan memastikan suntikan vaksin terhadap calon tersebut akan diberikan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai atau awal bulan Ogos depan. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button