Berita Utama

Lelaki dikehendaki polis maut ditembak

Mangsa cuba serang polis dengan parang ketika diserbu

GEORGE TOWN, 16 Zulkaedah 1442H, Ahad – Seorang lelaki yang dikehendaki polis berhubung kes jenayah ditembak mati selepas dia cuba menyerang polis dengan parang dalam serbuan di kawasan kebun di Air Terjun Bayan Lepas, dekat sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata pihaknya menerima laporan berhubung keberadaan lelaki berumur 34 tahun itu di sebuah pondok di kawasan tersebut sebelum terus ke lokasi kejadian pada 3.30 pagi.

“Sebaik pasukan serbuan tiba di kawasan kebun itu, secara tiba-tiba lelaki tersebut telah menyerang pasukan polis dengan bersenjatakan parang sehingga menyebabkan seorang anggota (polis) cedera di tangan dan dalam masa sama pasukan serbuan telah menjerit memaklumkan mereka adalah polis.

“Ekoran itu, seorang anggota polis telah melepaskan dua das tembakan ke arah lelaki tersebut untuk mempertahankan diri dan demi keselamatan anggota lain sebelum suspek rebah, kami terus menghubungi pihak ambulans bagi menyelamatkan dia namun pemeriksaan pasukan perubatan mendapati suspek telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan lelaki itu tinggal di dalam kawasan kebun itu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa berikutan terlibat dalam kegiatan jenayah kerana melakukan kes pecah rumah dan curi di sekitar daerah Barat Daya.

Kamarul Rizal berkata polis merampas sebilah parang dan pemutar skru serta polis turut menemukan peralatan menghisap dadah di dalam pondok didiaminya di kawasan kebun tersebut.

Katanya, hasil semakan mendapati lelaki tempatan dan tidak bekerja itu mempunyai 22 rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah malah suspek turut dikehendaki polis berhubung kes samun.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mayat lelaki terbabit dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk proses bedah siasat,” katanya.

Beliau berkata polis juga masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button