Berita Utama

Masa yang tepat kembalikan inisiatif bantu rakyat, perniagaan

Malaysia negara terawal perkenal i-Lestari, i-Sinar, moratorium automatik

KUALA LUMPUR, 16 Zulkaedah 1442H, Ahad – Kerajaan akan melaksanakan semula inisiatif membantu rakyat dan perniagaan yang pernah diperkenalkan sebelum ini susulan hadirnya Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata kerajaan tidak pernah berhenti daripada membantu rakyat dan sentiasa berusaha memikirkan penyelesaian bersama.

“Dengan hadirnya PPN, inilah masa yang tepat untuk kita kembalikan inisiatif sebegini (seperti sebelum ini) bagi membantu rakyat dan perniagaan,” katanya menerusi catatan di laman rasmi Facebook beliau pada Ahad.

Beliau berkata perbincangannya dengan pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Bank Negara Malaysia telah diadakan minggu ini.

“Teringat kembali peristiwa tahun lalu, bila kerajaan ini pertama sekali dalam sejarah perkenalkan i-Lestari, i-Sinar dan moratorium automatik untuk membantu rakyat hadapi cabaran COVID-19.

“Kita adalah negara terawal di dunia memperkenalkan inisiatif sebegini. Pada mulanya digasak oleh suara-suara yang membangkang,” katanya.

Tengku Zafrul berkata namun selepas itu ada dalam kalangan mereka yang sedar kesan positif pada rakyat dan mula menyokong program tersebut.

“Alhamdulillah mereka sedar,” katanya.

i-Sinar merupakan kemudahan pengeluaran dari Akaun 1 untuk ahli KWSP yang terjejas dalam tempoh krisis COVID-19 bagi membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

i-Lestari pula merupakan satu program KWSP bagi pengeluaran dari Akaun 2.

Moratorium adalah penangguhan rasmi bayaran ansuran bulanan daripada pembayar kepada pihak bank. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button