Berita Utama

Op Patuh: Mandat di bahu KDN lancarkan Pelan Pemulihan Negara

Tindakan tegas berterusan bantu negara bebas COVID-19: PBPM

BANGI, 16 Zulkaedah 1442H, Ahad – Persatuan Bekas Polis Malaysia (PBPM) menyokong penuh keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan mandat kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi menyelaraskan segala tindakan penguatkuasaan undang-undang, termasuk operasi serbuan yang melibatkan semua agensi-agensi penguatkuasa di seluruh negara.

Presiden PBPM, Datuk Hussin Awang Ngah berkata, beliau melihat Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Koordinasi Penguatkuasaan dan Pematuhan SOP PKP COVID-19 (JKPS) amat tegas serta komited dalam memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi melandaikan bacaan kes-kes jangkitan COVID-19 yang grafnya amat membimbangkan. 

“Apabila KDN mengambil secara sepenuhnya saya percaya ia akan menjadikan mereka yang cuba melanggar peraturan dan undang-undang tidak berani berbuat demikian. 

“Tindakan yang tegas secara berterusan dapat membantu kita bebas daripada pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Kelmarin, Hamzah berkata, kerajaan akan melaksanakan operasi membanteras ketidakpatuhan SOP peringkat nasional yang dikenali sebagai Op Patuh dalam kalangan masyarakat dan sektor ekonomi terutama perkilangan. 

Katanya, Op Patuh memberi lebih fokus dan bersepadu terhadap penguatkuasaan pematuhan SOP dalam kalangan kilang dan premis perniagaan yang beroperasi, termasuk penyalahgunaan surat kelulusan. 

Menyambut baik keputusan itu, Hussin berkata, operasi ini dipercayai dapat memastikan Pelan Pemulihan Negara berjalan dengan lancar.

Pada masa sama, beliau menyokong tindakan tegas KDN membanteras isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sekian lama membelenggu rakyat Malaysia. 

“Seramai 3,138 PATI telah menyerah diri dan 4,877 PATI telah ditahan sepanjang operasi yang dijalankan. Ada dalam kalangan rakyat kita terlibat dalam membawa masuk PATI ke dalam negara kita. 

“Menteri Dalam Negeri telah bertindak tepat dalam mengambil secara serius aduan rakyat dalam memastikan PATI serta mereka yang bersubahat ini dikenakan tindakan hukuman yang sepatutnya. 

“Saya berpandangan jika langkah pembenterasan PATI ini berterusan ianya memberikan impak positif kepada rakyat dan juga negara termasuk juga mengurangkan kes-kes jenayah yang melibatkan PATI,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mengajak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta masyarakat agar bersama-sama mematuhi SOP COVID-19 yang ditetapkan, dan memberikan maklumat berkaitan PATI di kawasan masing-masing bagi membantu KDN berserta agensi berkaitan membanterasnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button