Berita Utama

PEMBELA gusar krisis ekonomi badai rakyat ketika ini

'Selepas disiasat, kami hanya mampu melihat, maafkan kami wahai rakyat Malaysia'

BANGI, 16 Zulkaedah 1442H, Ahad – Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya gusar melihat keadaan rakyat yang berdepan krisis ekonomi tatkala ini.

Menurut beliau, ratusan ribu rakyat Malaysia hilang pekerjaan kerana diberhentikan, bahkan tahun lepas sahaja dari Januari hingga November 2020, seramai 99,696 pekerja mengalami nasib sama.

Kajian juga menunjukkan seramai 30,000 pekerja dalam bidang perhotelan hilang pekerjaan tahun lalu.

Haji Aminuddin juga yakin, jumlah itu pasti sudah meningkat berkali ganda setakat hari ini.

“Lebih menggusarkan saya lagi ialah kebanyakan daripada mereka adalah anak-anak muda yang baru sahaja mula berkehidupan. Ada di antara mereka baru dapat anak, baru berkahwin, perlu sara orang tua mereka yang sakit dan sebagainya.

“Ditambah lagi dengan kes-kes bunuh diri kerana tekanan hidup yang semakin laju meningkat. Ianya sangat mengerikan apabila melihat rakaman-rakaman bunuh diri tersebar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Namun apa yang lebih dikesalinya, PEMBELA tidak mampu membantu apa-apa berikutan bimbang ada pihak yang akan membuat laporan polis sekiranya pertubuhan itu mengambil langkah membuka tabung ‘crowdfund’ untuk membantu rakyat.

Ini susulan pihaknya pernah dipanggil oleh polis yang dikatakan untuk menyiasat mengenai isu ‘Tabung Kilat Membela Rider Bela Kalimah Allah’.

Haji Aminuddin berkata, walaupun kerajaan ada mengumumkan pemberian bantuan, beliau yakin ianya tidak cukup kerana tidak mampu untuk membantu semua pihak selama-lamanya.

“Itulah sebab adanya NGO-NGO dan persatuan-persatuan.

“Namun, apakan daya. Selepas kami disiasat pihak polis kerana cuba membantu ‘rider-rider’ baru-baru ini, kami hanya mampu melihat, bantu sikit-sikit dan sorok-sorok sahaja.

“Nampaknya, bukan senang nak berbakti membela anak bangsa di negara kita ini sebenarnya. Maafkan kami, wahai rakyat Malaysia,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button