Dunia

Gesa tekanan antarabangsa paksa Israel buka lintasan Gaza

Penutupan berterusan boleh lumpuhkan aktiviti ekonomi wilayah

GAZA, 17 Zulkaedah 1442H, Isnin – Ketua Jawatankuasa Antarabangsa Menyokong Palestin, Dr Essam Yousef menggesa tekanan daripada antarabangsa terhadap pengganas Israel untuk membuka lintasan Gaza bagi mengelakkan berlaku bencana kemanusiaan di wilayah itu. 

Dalam satu kenyataan, Dr Essam berkata, penutupan berterusan rejim Israel ke atas lintasan Gaza berisiko melumpuhkan aktiviti ekonomi kerana ia dianggap arteri penting untuk aliran bahan-bahan mentah. 

Katanya, melumpuhkan ekonomi Gaza menyebabkan ribuan pekerja hilang punca pendapatan, apatah lagi wilayah itu kini menderita dengan kadar pengangguran tertinggi di dunia.

Keadaan itu akan menyebabkan krisis kemanusiaan dengan situasi yang tidak boleh diramalkan terhadap struktur sosial di wilayah berkenaan, kata Dr Essam. 

Memetik kesatuan pekerja, beliau berkata, terdapat 2,000 kilang di Gaza termasuk 500 yang ditutup akibat pengepungan dan serangan rejim. 

“Hasilnya, 21,000 pekerja kilang telah tersenarai sebagai penganggur. Sejumlah 100,000 pekerjaan hilang kerana penutupan pintu lintasan sempadan.

“Bagi sektor pertanian, petani mengalami kerugian juta dolar kerana tidak dapat mengeksport hasilnya,” katanya. 

Justeru, Dr Essam meminta semua pemerintah, organisasi antarabangsa dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menamatkan dasar Israel, yang memaksa rakyat Palestin melepaskan hak-hak asasi manusia mereka. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button