Berita Utama

I-Medik tak setuju penganjuran Hartal Doktor Kontrak

Beban kerja bertambah namun kedudukan tak terjamin, SPA diminta pandang isu lebih serius

BANGI, 17 Zulkaedah 1442H, Isnin – Pertubuhan Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) tidak bersetuju dengan penganjuran Hartal Doktor Kontrak yang dijadualkan bermula 1 Julai ini.

Menegaskan pandangan itu, Presidennya, Prof Dr Azizi Ayob berkata, pihaknya berpendapat bahawa penganjuran hartal bukan satu-satunya cara penyelesaian. 

Tegasnya, masih ada ruang untuk rundingan diadakan bagi membincangkan isu ini secara tuntas. 

“Penganjuran Hartal Doktor Kontrak dilihat sebagai satu tindakan reaktif oleh pegawai-pegawai perubatan kontrak ini yang semakin resah dan tertekan ditambah pula dengan situasi pandemik yang tidak menentu. 

“Beban kerja dilihat semakin bertambah namun masih tiada tanda-tanda yang menunjukkan kedudukan mereka terjamin.

“Namun, sekiranya kita terburu-buru mengambil tindakan dalam isu ini, akan ada pihak yang terkesan terutamanya para pesakit yang memerlukan pertolongan kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Pun begitu, beliau menegaskan, I-Medik ingin terus menyeru kepada pihak kerajaan terutamanya Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) agar memandang isu penjawatan kontrak ini dengan lebih serius. 

I-Medik juga, katanya, mengusulkan agar sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelesaikan isu ini.

“Akhir kata, sama-samalah kita panjatkan doa kepada Allah agar menunjukkan jalan penyelesaian terbaik bagi isu ini,” katanya.

Terdahulu, sekumpulan pegawai perubatan kontrak dilaporkan akan melakukan protes ‘Hartal Doktor Kontrak’ secara berfasa bermula 1 Julai yang melibatkan penghantaran memorandum, sidang media dan juga mogok pada 26 Julai sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan isu mengenai penempatan tetap mereka.

Salah seorang doktor mengatakan bahawa terdapat 23,077 pegawai perubatan kontrak yang direkrut sejak 2016, namun hanya 789 yang telah diserap sebagai kakitangan tetap.

Dari angka tersebut, dia mengatakan sekitar 45 peratus sudah menyokong memorandum mereka dan jumlahnya akan bertambah sebelum dokumen itu didedahkan minggu depan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button