Berita Utama

Jakim lengkap 160 pegawai tangani kes kemurungan

MyCareCOV19 sedia bantuan rohani tangani isu sosial ketika PKP

KUALA LUMPUR, 17 Zulkaedah 1442H, Isnin – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang melengkapkan 160 pegawai mereka di hospital seluruh negara, dengan kemahiran khidmat psikospiritual, khidmat bimbingan dan ‘ilaj syarie’ (rawatan Islam), untuk menangani kes kemurungan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam satu hantaran di laman Facebook beliau hari ini berkata, perkhidmatan berkenaan akan diperluaskan ke agensi-agensi di bawah Kementerian Kesihatan.

Zulkifli berkata, perkhidmatan berkenaan adalah bagi menangani masalah kerohanian dan kemurungan, dalam kalangan pesakit dan kakitangan hospital sendiri akibat pandemik COVID-19 dan permasalahan lain.

“Bagi mencapai matlamat tersebut, seramai 160 peserta yang terdiri daripada Kader Post Jakim yang berkhidmat di hospital seluruh Malaysia, Pegawai Mesra Ibadah lantikan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan ‘Spiritual Provider’ lantikan Hospital Rehab Cheras (Hospital Rehabilitasi Cheras), akan diberi latihan,” katanya.

Menurut Zulkifli, tindakan menempatkan pegawai Jakim itu juga adalah di samping inisiatif MyCareCOV19, yang bermula pada April 2020.

MyCareCOV19 merupakan inisiatif Jakim bersama rakan strategik agensi lain, dalam menyediakan bantuan kerohanian atau ‘spiritual’, bagi membantu masyarakat Islam dan bukan Islam menangani permasalahan serta isu sosial dan komuniti yang timbul, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button