Berita Utama

Lebih sebulan menunggu, akhirnya Ustaz Ebit Lew tiba di Gaza

Rombongan UEL adalah pasukan pertama di dunia dibenar masuk melalui Pintu Rafah

GAZA, 17 Zulkaedah 1442H, Isnin – Pendakwah bebas dan aktivis masyarakat, Ustaz Ebit Lew bersama rombongannya dibenarkan masuk ke Gaza melalui Pintu Rafah bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.

Dalam tulisan di laman Facebook, Ustaz Ebit, hari ini memaklumkan pasukannya berjaya masuk dengan diiringi tentera Mesir bersama kereta berperisai sepanjang perjalanan. 

Beliau berkata, menurut kedutaan Malaysia dan unit perisikan tentera Mesir, rombongannya adalah pasukan pertama di dunia yang dibenarkan masuk melalui Pintu Rafah selepas perang 2021, baru-baru ini. 

“Ada lebih 30 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seluruh dunia sedang memohon. Sebahagian ada di Mesir. Doakan mereka semua dimudahkan Allah supaya lebih ramai dapat dibantu,” katanya, hari ini.

Beliau turut memberi ucapan penghargaan kepada Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menjadi antara yang terawal membantu pihaknya.

“Terima kasih teramat sangat pada Dato Seri Hishammuddin Hussein yang dari mula membantu pasukan kami. Setiap hari kami bermesej. Dato Seri call Kementerian Luar Mesir dan terus datang ke Mesir untuk membantu saya secara terus. 

“Katanya, ustaz jaga team kita ye. Walau terlambat seminit, betapa ramai yang memerlukan di Palestin menderita. Terima kasih Wisma Putra,” katanya.

Pada masa sama, Ustaz Ebit turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang telah memberi banyak sumbangan.

“Terima kasih DYAM HRH Crown Prince of Johor TMJ yang sangat banyak membantu dan turut menyumbang bersama. Terima kasih selalu bertanya khabar. 

“Terima kasih juga kepada YAB PM Muhyiddin Yassin yang menghubungi Presiden Mesir dengan menyebut tentang misi kami. 

“Terima kasih Palestin, Palestine Red Crescent society الهلال الاحمر الفلسطيني . Terima kasih Malaysian Red Crescent. Terima kasih kerajaan Mesir yang membantu segala urusan dan menjaga keselamatan kami sepanjang perjalanan,” katanya.

Beliau berkata, perjalanan ke Gaza menimbulkan rasa sebak dan sayu ibarat pulang kampung halaman sendiri. 

“Mungkin dari kecil berdoa untuk rakyat Palestin. Kini dapat jejak kaki ke sini. Saya minta maaf tidak update sebelum ini atas faktor keselamatan. 

“Terharu bila sampai kami disambut oleh Palestin Red Crescent. Ramai berebut untuk menyambut. Kementerian Kesihatan Palestin dan Kementerian Luar Palestin. 

“Sepanjang masuk sempadan Rafah cuma kedengaran semua ajak minum, makan dan ke rumah mereka. Terasa seperti keluarga yang sangat dekat,” katanya.

Ustaz Ebit bersama pasukannya berlepas ke Mesir pada 25 Mei lalu dan tiba di Mesir dua hari kemudian.

Beliau turut memaklumkan sudah membeli barangan keperluan asas serta ubat-ubatan yang akan dibawa menggunakan dua treler dan beberapa lori untuk dihantar terus ke hospital Gaza pada hari terbabit.

Sementara itu, Hishamuddin meluahkan rasa gembira apabila mendapat makluman ketibaan Ustaz Ebit di Gaza.

“Allahuakbar. Sebak bila dapat tahu ustaz akhirnya sampai ke Gaza. Bersyukur sangat dengan perkembangan terbaru ini setelah pelbagai ikhtiar diusahakan Wisma Putra serta Kedutaan Malaysia terutama di Mesir demi membantu ustaz. Ini termasuklah menerusi lawatan saya ke Mesir baru-baru ini. Alhamdulillah.

“Ustaz dan team jaga diri baik-baik. Apa-apa keperluan, maklum terus saya atau pihak kedutaan. Kami doakan, semoga setiap hajat ustaz demi kebaikan rakyat Palestin dimakbulkan Allah SWT dan menjadi asbab kebaikan untuk semua,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button