Berita Utama

Mantapkan sistem kesihatan, SPA dan KKM didesak serap doktor kontrak

Lancar mogok bukan jalan terbaik di kala pandemik sedang menggila

BANGI, 17 Zulkaedah 1442H, Isnin – Tindakan melancarkan mogok oleh sekumpulan pegawai perubatan kontrak tidak sepatutnya berlaku dalam keadaan sistem kesihatan negara sedang bergelut melawan pandemik COVID-19.

Setiausaha Agung Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA), Ir Ts Muhammad Lukman Al Hakim Mohamad tidak bersetuju dengan tindakan mereka yang dilaporkan akan melakukan protes ‘Hartal Doktor Kontrak’ secara berfasa bermula 1 Julai ini.

Protes itu membabitkan penghantaran memorandum, sidang media dan juga mogok pada 26 Julai sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan isu mengenai penempatan tetap mereka.

“Saya tak setuju doktor kontrak melancarkan mogok dalam keadaan sistem kesihatan negara sedang bergelut dengan pandemik yang menggila.

“Namun, saya tetap mendoakan mereka semua dan mendesak SPA dan KKM menyerap semua doktor kontrak sebagai pegawai berstatus tetap demi memantapkan lagi prestasi sistem kesihatan negara, terutama pada fasa kritikal bagi mengekang COVID-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik) turut menyatakan tidak bersetuju dengan penganjuran Hartal Doktor Kontrak itu.

Presidennya, Prof Dr Azizi Ayob berkata, I-Medik berpendapat bahawa penganjuran hartal bukan satu-satunya cara penyelesaian, sedangkan masih ada ruang rundingan untuk berbincang isu itu secara tuntas.

Sehubungan itu, I-Medik mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelesaikan isu ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button