Berita Utama

Sabah laksana fasa pertama PPN esok

Benarkan makan di restoran, operasi kedai gunting rambut

KOTA KINABALU, 17 Zulkaedah 1442H, Isnin – Kerajaan Sabah akan melaksanakan fasa pertama Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula esok, dengan mengekalkan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, kata Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor.

Beliau berkata, menerusi fasa pertama itu, beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi antaranya makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel; gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya; serta kedai gunting rambut.

“Perincian SOP negeri Sabah akan dikeluarkan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hajiji berkata, aktiviti sukan dan rekreasi tidak bersentuhan fizikal seperti senaman, golf, memancing dan berbasikal, adalah dibenarkan dalam fasa pertama PPN di Sabah.

Beliau berkata, aktiviti pembuatan dan perkilangan yang dibenarkan beroperasi juga akan diperluaskan kepada getah, simen dan cat, selain kilang berasaskan kayu dan perabot.

Kerajaan Sabah sebelum ini melaksana PKP 3.0 bermula 1 Jun lepas sehingga 14 Jun, sebelum dilanjutkan sehingga hari ini (28 Jun). –  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button