Berita Utama

Agong sekali lagi titah adakan sidang Parlimen secepat mungkin

Supaya tadbir urus telus dalam menangani isu dasar awam, kemasyarakatan, kewangan dan perbelanjaan negara

KUALA LUMPUR, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menitahkan supaya persidangan Parlimen diadakan secepat mungkin mengikut garis panduan dan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 yang ditetapkan kerajaan dan Parlimen.

Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan demikian selepas berkenan menerima menghadap Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun di Istana Negara, hari ini.

Turut hadir pada sesi yang berlangsung selama satu jam bermula jam 11 tadi ialah Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad serta kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Haji Mohd Rashid Hasnon dan Datuk Sri Azalina binti Othman Said.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin dalam satu kenyataan, berkata, Seri Paduka Baginda bertitah demikian bagi membolehkan Proklamasi Darurat dan Ordinan-ordinan Darurat yang telah dikeluarkan dapat dibentang di Parlimen seperti yang termaktub dalam Perkara 150 (3) Perlembagaan Persekutuan.

“Selain itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa semua Jawatankuasa-Jawatankuasa Pilihan Parlimen Ke-14 hendaklah meneruskan sesi-sesi mesyuaratnya untuk pelaksanaan mekanisme semak dan imbang.

“… bagi menjamin berlakunya tadbir urus yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab khususnya menangani Isu-Isu dasar awam dan kemasyarakatan serta hal ehwal kewangan dan perbelanjaan negara,” katanya.

Ahmad Fadil memaklumkan, semasa sesi menghadap tersebut, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan dan terima kasih atas komitmen dan kesediaan pihak Parlimen untuk mengadakan persidangan Parlimen secepat mungkin.

“Perlu diperjelaskan juga di sini bahawa pandangan dan seruan-seruan yang dinyatakan ini merupakan pendirian Seri Paduka Baginda dan Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu yang bertindak sebagai Raja Berperlembagaan berlandaskan prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undangnya.

“Seri Paduka Baginda turut mengambil kesempatan ini menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button