Berita Utama

Isu rizab Melayu dipindah milik: ‘Alasan MB tak bertanggungjawab’

Sokong tindakan SPRM buka kertas siasatan berhubung dakwaan Putra

BANGI, 25 Jamadilakhir 1442H, Ahad – Alasan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad yang enggan mengulas dakwaan Tanah Rizab Melayu di negeri itu dipindah milik kepada bukan Melayu, dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.

Ini kerana, isu tanah adalah di bawah portfolionya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Kewangan, Keselamatan, Tanah, Sumber Asli, Perancangan Ekonomi dan GLC.

Sehubungan itu, Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Perak mendesak kerajaan negeri bertanggungjawab sepenuhnya terhadap dakwaan milikan tanah berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan BERJASA Perak, Ustaz Shaharuzzaman Bistamam turut menuntut Saarani serta Pejabat Tanah dan Galian negeri tampil menjelaskan mengenai dakwaan itu.

“Alasan YAB Menteri Besar untuk fokus dan menyelesaikan isu COVID-19 terlebih dahulu, amat tidak bertanggungjawab dan sangat dikesali,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Perak mendedahkan kawasan seluas 649.19 hektar tanah berstatus Tanah Rizab Melayu di Mukim Sitiawan, Manjung diberikan hak milikan kepada bukan Melayu.

Pengerusi Penyelarasnya, Datuk Hamidah Osman berkata, perkara itu dikesan melalui pencarian rasmi yang dibuat di Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Perak.

Daripada keluasan itu, beliau berkata, sebanyak 317 lot telah dipecahkan dan diberi milikan bagi tujuan pertanian untuk tanaman getah serta kelapa sawit.

“Kita juga menyokong tindakan SPRM yang dimaklumkan telah membuka kertas siasatan terhadap dakwaan ini.

Susulan pendedahan itu, Saarani dilaporkan menolak untuk mengulas mengenai dakwaan berkenaan, kerana mahu memberi tumpuan berkaitan COVID-19 dan meminta PTG negeri menjawab.

“Tak apa, yang itu PTG akan jawab,” kata Saarani dipetik laporan media sebelum ini.

Pada masa sama, Ustaz Shaharuzzaman turut menyokong tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah membuka kertas siasatan terhadap dakwaan itu.

“Semoga ianya mampu untuk membawa mereka yang terlibat ke muka pengadilan demi menjaga kemaslahatan watan yang berdaulat ini,” katanya.

SPRM Perak memaklumkan, mereka sudah menerima laporan tersebut daripada polis, dan kini sedang mengarahkan pasukan siasatannya meneliti serta menyiasat kes itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button