Berita Utama

Hayat PKS ‘terkubur’ jika PKP Fasa 1 berbulan-bulan lagi

Perhalusi indikator, sampai bila perlu tunggu kes turun bawah 4,000

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Hayat usahawan sektor perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dijangka bakal berakhir segera sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa 1 berlarutan sehingga memakan masa berbulan-bulan lagi. 

Penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abd Latiff berkata, melalui Geran Khas Prihatin atau GKP – inisiatif bagi menyokong kelangsungan perniagaan atau dalam kalangan peniaga kecil – penerima yang layak hanya menerima sebanyak RM1,000, dan bakal mendapat RM500 lagi pada pertengahan bulan Julai nanti.

Manakala, di bawah GKP 4.0, kerajaan memberi sebanyak RM500 yang akan dibayar pada bulan September dan RM500 lagi pada bulan November 2021.

“Jumlah ini sama sekali tidak mencukupi buat para peniaga yang terpaksa menutup pengoperasiannya sepanjang PKP Fasa 1. 

“Kita akui moratorium banyak membantu untuk bayar sewa tapak, bantu kepada penyewa untuk memberi diskaun, cuma ianya perlu seiring dengan ‘progress’ Pelan Pemulihan Negara.

“Bagaimana jika kita masih kekal di PKP Fasa 1 sehingga Julai mahupun Ogos. Jika kita kekal di Fasa 1, sukar untuk perniagaan pulih. Kekangan perjalanan, operasi memberi kesan yang besar,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PKS juga sebelum ini memerlukan tempoh selama empat hingga enam bulan untuk kembali pulih.

“PKP kali ini juga sama, pemulihan dijangka dalam tempoh 4 hingga 6 bulan. Tahun depan baru betul-betul recover, sedangkan bantuan untuk 3 hingga 4 bulan sahaja. 

“Kerajaan kena pastikan bahawa selepas ini ada kesinambungan bantuan daripada Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH),” katanya.

Dalam pada itu, bagi menyelamatkan PKS dan rakyat yang terjejas, Dr Ahmed Razman menegaskan, Pelan Pemulihan Negara memerlukan komitmen tinggi daripada kerajaan supaya PKP dapat bergerak lebih cepat ke Fasa 2 dan Fasa 3.

“Pelan PEMULIH perlu selari dengan Pelan Pemulihan Negara. Indikator nilai ambang PPN itu kena dikurangkan. Salah satunya, PKP hanya akan beralih ke Fasa 2 jika purata kes harian COVID-19 menurun di bawah 4,000 kes. Walhal kadar jangkitan kini masih kekal tinggi lebih 4,000, lebih 5,000. 

“Kerajaan perlu nilai daripada kes 5,000 itu ada tak 1,000 kes yang sebenarnya dalam tempat secluded (tertutup), yang tiada kemungkinan merebak keluar. Risiko untuk berjangkit keluar tiada. Kalau kes sebegini, tak perlu kita masukkan sekali dalam nilai keseluruhan kes. 

“Perhalusi indikator ini, kena beritahu setiap hari progress kita macam mana, seberapa efektif PKP itu dalam penurunan kes. Jadi rakyat akan rasa termotivasi bila target makin lama makin nak dekat, ini sekarang kita pun tak tahu berapa indikator yang dicapai.

“Ibaratnya macam berlari marathon, kalau kita dapat tengok garisan penamat, kita akan jadi lagi semangat. Kalau macam sekarang ni kita tak nampak, semua jadi tak bermotivasi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button