Kajian Oxford dedahkan campuran Pfizer-AstraZeneca hasil tindak balas imun lebih baik
Kombinasi vaksin sudah diberikan pada 830 sukarelawan kajian

LONDON, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Vaksin campuran – suntikan Pfizer BioNTech dan AstraZeneca akan menghasilkan tindak balas imun yang lebih baik berbanding dos lain, menurut kajian Oxford.
Kajian yang disebut Com-COV itu membandingkan campuran dos AstraZeneca dan vaksin Pfizer mendapati kombinasi berkenaan menghasilkan kepekatan antibodi yang tinggi terhadap ‘spike protein’ coronavirus.
Data itu sekali gus menyokong keputusan beberapa negara Eropah yang mula menawarkan alternatif AstraZeneca sebagai suntikan dos kedua setelah vaksin terbabit dikaitkan dengan masalah pembekuan darah.
Profesor di Oxford, Matthew Snape berkata, dapatan kajian itu dapat digunakan untuk memberi kelonggaran kepada pemberian vaksin.
“Ini pasti menggembirakan kerana tindak balas antibodi dan sel-T ini sesuai dengan jadual campuran,” katanya.
Tindak balas antibodi tertinggi dilihat pada individu yang menerima dua dos vaksin Pfizer, dengan kedua-dua jadual campuran menghasilkan kesan lebih baik daripada dua dos vaksin AstraZeneca.
Menurut kajian, suntikan AstraZeneca diikuti dengan Pfizer menghasilkan tindak balas sel-T terbaik dan antibodi lebih tinggi daripada penggunaan Pfizer diikuti AstraZeneca.
Hasil itu adalah untuk kombinasi vaksin yang diberikan pada selang empat minggu kepada 830 sukarelawan kajian.
Snape berkata, suntikan AstraZeneca diketahui menghasilkan tindak balas imun yang lebih baik dengan selang waktu lebih lama antara dos.
Di Britain, pegawai mencadangkan jurang 8 minggu antara dos vaksin pertama dan kedua bagi individu berusia lebih 40-an dan jurang 12 minggu untuk orang dewasa lain.
Ekoran bekalan vaksin di UK stabil, maka tiada sebab untuk negara itu mengubah jadual vaksinasi mengikut dapatan kajian. – Agensi