Berita Utama

Kerajaan digesa benar kedai buku, alat tulis beroperasi

Harap cadangan dipertimbang, tak perlu tunggu hingga Fasa 2

BANGI, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Kerajaan perlu memberi kebenaran kepada kedai buku dan alat tulis serta kedai komputer dan telekomunikasi beroperasi semula tanpa perlu menunggu sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menuju Fasa 2.

Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) masih berlangsung bagi pelajar sekolah dan begitu juga bagi mahasiswa di institut pengajian tinggi (IPT).

Beliau menegaskan, semua pihak yang terlibat dengan sesi pembelajaran dalam talian ini memerlukan akses untuk memudahkan urusan pengajaran dan pembelajaran mereka. 

“Guru-guru perlu mencetak bahan-bahan mengajar, pelajar-pelajar memerlukan alat tulis. Ada juga pelajar yang perlu membeli komputer riba baharu untuk kegunaan pembelajaran.

“Ditambah pula dengan mahasiswa yang pada ketika ini sedang menjalani minggu-minggu akhir semester serta minggu peperiksaan. 

“Peperiksaan yang dilakukan secara dalam talian memerlukan mahasiswa untuk mempunyai peranti yang baik bagi memudahkan urusan mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Muhammad Amir berkata, pihaknya melihat kewajaran sektor ini dibuka kembali dan kerajaan tidak boleh menunggu sehingga tiba Fasa 2 yang sehingga hari ini nampak masih jauh.

“MPPK berharap agar cadangan yang dibawa oleh MPPK dapat dipertimbangkan oleh kerajaan dan sekali gus akan dapat memastikan sistem pendidikan di negara kita dapat terus berjalan dengan baik,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button