Berita Utama

PH-PAN menang tapi pimpinan UMNO yang ‘berkepak’

Keputusan PRK Johor bukti PH menang dengan sokong 'solid' bukan Melayu

BANGI, 25 Safar 1445H, Isnin – “Pakatan Harapan (PH)-Parti Amanah Negara (PAN) yang menang pimpinan UMNO pula yang ‘berkepak’.”

Demikian sinis Setiausaha Perhubungan PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir mengulas gelagat pemimpin UMNO selepas kedua-dua calon PH berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram pada Sabtu lalu.

Beliau berkata, keputusan itu realitinya menunjukkan PH menang dengan sekali lagi undi dan sokongan ‘solid’ pengundi bukan Melayu khasnya Cina yang benci pada Perikatan Nasional (PN) hasil dakyah DAP.

“Berbeza dengan pengundi Melayu yang ternyatakan bencikan PH dan DAP khasnya.

“Lalu soalannya, apakah peranan Zahid dan UMNO?,” soalnya dalam satu kenyataan yang turut memuat naik muka hadapan keratan akhbar The Star hari ini.

Menerusi artikel itu, Roslan berkata, ada para penganalisis politik mendakwa kemenangan PH di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram adalah bukti yang kombinasi PH-BN adalah satu pakatan politik yang kukuh dan bertenaga.

Bahkan, ada yang mendakwa ‘gelombang hijau’ tidak mencecah Johor sebagaimana ia melanda negeri-negeri lain.

Atas dasar kebebasan bersuara, Roslan berkata, sesiapapun boleh menyuarakan pandangan dan pendapat walaupun kadang-kala ia lebih kerana kepentingan tertentu, tidaklah jujur dan terbuka sangat.

“Hakikatnya Parlimen Pulai dengan cuma 44.17 peratus pengundi Melayu, bukanlah kerusi majoriti Melayu. Demikian juga DUN Simpang Jeram yang cuma ada 52 peratus pengundi Melayu, bukanlah bumi subur buat pembinaan ‘gelombang hijau’.

“Bermakna bukannya gelombang itu tidak cecah, ia memang tidak berlaku pun berdasarkan lanskap politik yang ada.

“Tak mengapalah jika ada mahu berbangga dan bergelak besar menang di ‘laman kampung sendiri’ itu,” katanya.

Beliau bagaimanapun tertanya-tertanya berapa sumbangan UMNO dalam kemenangan calon PH-PAN ini sehinggakan parti itu yang kelihatan lebih melonjak dan ‘berkepak-kepak’.

Katanya, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil mengakui hampir sembilan daripada 10 pengundi BN sebelum ini tidak menyokong PH dalam PRK ini.

“Mereka sama ada tidak keluar mengundi atau telah undi PN. Syukur ada juga pemimpin tertinggi UMNO yang jujur.

“Jadi apa sumbangan UMNO sebenarnya?

“Orang UMNO tak sokong PH, orang Melayu undi PN tetapi Presiden UMNO dan juak-juaknya terlebih melonjak-lonjak meraikan kemenangan. ‘Winning combo’ kah begitu?” soalnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button