Berita UtamaDunia

Misi pengaman PBB mungkin ditutup

Misi akan terhad jika bajet AS$6bilion tidak dipersetujui

NEW YORK, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di seluruh dunia bersedia kemungkinan ditutup pada hari Khamis sekiranya Majlis Agung yang dianggotai 193 anggota tidak bersetuju bajet baharu AS$6bilion untuk tahun ini hingga 30 Jun 2022.

Sebilangan diplomat menyalahkan perubahan prosedur perundingan, masalah logistik dan perbincangan sulit yang menyebabkan China menentang negara-negara Barat kerana kelewatan mencapai persetujuan.

Ketua pengurusan strategi, polisi dan pematuhan PBB, Catherine Pollard berkata, 12 misi pengaman badan dunia – yang kebanyakannya berada di Afrika dan Timur Tengah – dinasihatkan untuk mula menyusun rancangan luar jangka sekiranya anggaran baharu tidak diterima pakai.

“Justeru kami tetap berharap dan yakin bahawa negara anggota akan menyelesaikan rundingan mereka,” kata Pollard kepada wartawan.

Beliau berkata, jika tarikh akhir 30 Jun dilewatkan, Setiausaha Agung, Antonio Guterres hanya dapat mengeluarkan wang untuk melindungi aset PBB dan memastikan perlindungan kakitangan dan pasukan pengaman.

Ketua pengaman PBB, Jean-Pierre Lacroix berkata, misi akan sangat terhad dan tidak dapat melaksanakan langkah-langkah seperti melindungi orang awam, membantu menangani COVID-19 dan menyokong usaha dan mediasi politik.

Amerika Syarikat (AS) penyumbang terbesar dalam belanjawan pengaman – bertanggungjawab sekitar 28 peratus – diikuti oleh China dengan 15.2 peratus dan Jepun dengan 8.5 peratus. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button