Moratorium: Pastikan tiada sebarang caj dikenakan
Selangor perlu PKP yang ketat terutama di kawasan industri

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar
BANGI, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) bernilai RM150 bilion merangkumi suntikan langsung fiskal sebanyak RM10 bilion dianggap langkah bagus untuk membantu rakyat.
Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr Baayah Baba menyifatkan pakej berkenaan bagus dalam membantu rakyat secara menyeluruh.
Katanya, moratorium yang diberi kepada semua golongan bakal membantu pertumbuhan ekonomi.
Meskipun begitu, beliau menggesa moratorium berkenaan dilaksanakan seperti awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu iaitu tiada sebarang caj dikenakan.
“Cuma tarikh pembayaran dilanjutkan enam bulan.
“Selain itu i-Citra – kemudahan pengeluaran terkini Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) – membantu mereka yang berkenaan mengeluarkan KWSP mengikut keperluan dan simpanan yang ada.
“Perusahaan kecil dan mikro terus mendapat pertolongan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.
Biarpun Pakej PEMULIH sedikit sebanyak dapat meringankan beban hidup rakyat, beliau berpandangan kerajaan perlu meneliti semula perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
Berikutan itu, Dr Baayah menyarankan kerajaan untuk tidak mengenakan lagi fasa pertama kawalan pergerakan di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN) di negeri yang tidak merekodkan bilangan kes membimbangkan.
“Negeri seperti Perlis patut dibenarkan terus ke fasa dua agar aktiviti ekonomi tidak lagi disekat.
“Bagi negeri-negeri lain PKP perlu dikenakan mengikut kadar jangkitan baharu.
“Negeri Selangor yang bermasalah perlu difokus bagi vaksin selain PKP yang ketat terutama di kawasan industri,” katanya.