Berita Utama

PEMULIH hanya bantuan sementara, perlu ada pelan jangka panjang

Ramai terkesan, syor kerajaan perluas peluang pekerjaan

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Kerajaan masih perlu memikirkan pelan jangka panjang untuk rakyat dan pemulihan ekonomi negara sekiranya situasi pandemik COVID-19 berlarutan hingga ke tahun depan.

Meskipun Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) yang diumumkan semalam secara dasarnya memuaskan, bantuan kewangan itu bagaimanapun hanya untuk jangka pendek dan bersifat sementara.

Sedangkan, rakyat berkemungkinan berdepan kesan komitmen jangka panjang membabitkan pinjaman perumahan dan kewangan sekiranya krisis kesihatan berlarutan, kata penganalisis ekonomi, Prof Madya Dr Abu Sofian Yaacob.

“Sekarang ini ramai yang terkesan dan ada mengambil tindakan di luar batasan disebabkan kemurungan dan ketidakstabilan mental.

“Apa yang rakyat perlukan ialah pekerjaan supaya mereka boleh mendapat pendapatan yang berterusan bukannya bantuan jangka pendek,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Justeru, beliau mencadangkan supaya kerajaan memberi fokus kepada peluang pekerjaan yang lebih meluas kepada rakyat, walaupun pendapatan mungkin tidak seperti sebelum negara dilanda wabak.

Melalui langkah itu juga, katanya, rakyat akan lebih mudah mengatur komitmen perbelanjaan, sekali gus merancakkan kembali sektor ekonomi secara berperingkat.

“Saya juga ingin mencadangkan sekiranya wabak dan PKP ini berlarutan, benarkan sesiapa yang hilang pekerjaan atau tiada pendapatan terutama bagi yang berkeluarga untuk merentas negeri pulang ke kampung atau rumah keluarga.

“Mereka boleh mengusahakan ladang atau bercucuk tanam untuk menampung kehidupan harian. Ini secara tak langsung mengurangkan gejala sosial di luar batasan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peruntukan RM150 bilion menerusi PEMULIH merangkumi suntikan langsung fiskal kerajaan RM10 bilion.

Sejak pandemik COVID-19, kerajaan Perikatan Nasional telah melaksanakan tujuh program bantuan dan pakej rangsangan dengan jumlah keseluruhan bernilai RM380 bilion.

Ia antaranya merangkumi bantuan tunai kepada rakyat, program subsidi upah untuk majikan dan bantuan kewangan kepada Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button