Polis Israel bertindak ganas serang penempatan Palestin
Lepaskan gas pemedih mata, peluru bersalut getah ke arah penduduk

BAITULMAQDIS, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Rejim polis negara haram Israel menyerang penempatan Palestin di tengah-tengah kebimbangan penduduk terhadap perobohan di Silwan dekat Baitulmaqdis Timur yang diduduki.
Serangan itu sekali gus mencetuskan pertempuran dengan penduduk Palestin di kawasan Al-Bustan.
Dalam kejadian itu, rejim Israel melepaskan gas pemedih mata dan peluru bersalut getah ke arah penduduk Palestin.
Beberapa penduduk Palestin menggunakan pembesar suara masjid bagi menyeru orang ramai berkumpul melindungi kediaman mereka.
Pegawai tempatan di Silwan sebelum ini telah memberi amaran mengenai rancangan negara haram Israel bagi merobohkan sekitar 100 buah rumah di kawasan Al-Bustan dengan alasan dibina tanpa permit.
Bukan itu sahaja, negara penjajah juga bakal membina sebuah taman di kawasan berkenaan.
Israel turut mengeluarkan perintah bagi merobohkan 13 buah rumah milik rakyat Palestin di tempat sama. -Agensi