Berita Utama

Tak matang guna Parlimen jatuhkan kerajaan

Perlembagaan Persekutuan beri kuasa kepada Agong terima atau tolak cadangan PM bubar Parlimen

BANGI, 18 Zulkaedah 1442H, Selasa – Tindakan menggunakan Parlimen bagi menjatuhkan sesuatu kerajaan bukan budaya demokrasi matang.

Sebaliknya, penganalisis politik dan ekonomi sosial, Datuk M Periasamy berkata, pilihan raya umum adalah medan terbaik bagi menguji kekuatan parti politik dalam satu sistem politik demokrasi.

Seperti diketahui, kerajaan Malaysia mengamalkan sistem demokrasi Parlimen dan Raja Berpelembagaan.

Perlembagaan Malaysia adalah undang-undang tertinggi, malah asas pembentukan negara berdaulat adalah seperti termaktub dalam Perkara 4 Perlembagaan Persekutuan, jelasnya.

“Mencontohi model Westminster dari United Kingdom (UK), Perlembagaan Persekutuan menggariskan satu rangkaian prosedur dalam pengurusan Parlimen sebagai sebuah badan legislatif,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

M Periasamy berkata, perjalanan Parlimen pula dipandu satu tatacara pentadbiran yang teratur ditentukan Perlembagaan Persekutuan.

Secara ringkasnya, perjalanan kerajaan Malaysia ditunjangi Parlimen dengan dilengkapi kuasa Parlimen, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri.

Menurut Perkara 32(1), Yang di-Pertuan Agong adalah ketua utama negara bagi Persekutuan dan mendapat keutamaan dengan mengatasi segala orang dalam Persekutuan.

“Dalam pada itu, Perkara 43(2)(a) memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk melantik seorang ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri yang pada pendapat baginda mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat.

“Namun, Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan menjelaskan bahawa Yang di-Pertuan Agong selaku Raja Berperlembagaan menjalankan tugas mengikut nasihat Perdana Menteri dan Jemaah Menteri.

“Pada masa sama, Perkara 40(2), memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk bertindak menurut budi bicara baginda melaksanakan tugas berkepentingan pentadbiran negara,” katanya.

Mengulas mengenai isu undi tidak percaya, katanya, sekiranya seseorang Perdana Menteri tidak mendapat kepercayaan sebilangan besar ahli Dewan Rakyat, maka beliau perlu meletak jawatan bersama Jemaah Menteri serta boleh mengesyorkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen.

Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan mengikut budi bicara, sama ada menerima atau menolak cadangan Perdana Menteri bagi pembubaran Parlimen.

“Namun, dalam perkara sama, Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan mengikut budi bicara, sama ada menerima atau menolak cadangan Perdana Menteri untuk pembubaran Parlimen,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button